Bangkit bersatu atau terus berpecah!..

– diambil daripada laman web ISMA dalam entri bertajuk ISMA seru Melayu bersatu bangunkan keperibadian bangsa

Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman.

Bangi, 30 Januari – Orang Melayu diseru supaya bersatu di atas agenda membangunkan semula keperibadian bangsa yang hebat sebagai umat yang memiliki dan mendokong risalah Islam. Justeru itu Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman mengemukakan cadangan agar kelompok islamis dan nasionalis berdamai serta bersatu di atas agenda pembinaan bangsa tersebut.

Menurut beliau, kesatuan di atas satu agenda ini merupakan kefardhuan yang mesti dilaksanakan bagi menjayakan agenda Islam yang besar. Rentetan sejarah menunjukkan bahawa kepimpinan Islam sentiasa ditunjangi oleh satu bangsa yang kuat. Inilah agenda yang memerlukan orang Melayu bersatu di atasnya.

“Kita percaya bahawa projek atau agenda Islam di rantau ini tidak akan menampakkan cahaya selama orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti beragama Islam berada dalam keadaan lemah dan dipolitikkan. Aibnya bukan kepalang apabila kita menjadi bangsa majoriti yang tidak memiliki kekuatan untuk membuat kata putus secara merdeka di bumi sendiri.”

Ustaz Abdullah Zaik menegaskan bahawa orang Melayu hanya mempunyai dua pilihan, samada bangkit bersatu di atas agenda ini atau terus berpecah dengan melaksanakan agenda orang lain. Perpecahan dan kepartian melampau yang melanda Melayu hari ini telah menyebabkan mereka hilang dominasi untuk menentukan kata putus sendiri, memaksakan kehendak serta mempertahankan kedudukan agama Islam dan ketuanan Melayu di negara ini.

Menyentuh mengenai peranan ISMA dalam menjayakan agenda ini, beliau memberi jaminan bahawa ISMA akan terus berusaha mendidik anak bangsa dengan kefahaman kesatuan seperti yang dituntut oleh agama, menyebarkan sikap toleransi terhadap perbezaan pendapat dan mazhab serta menyedarkan mereka dengan agenda bangsa yang lebih besar.

Hampir 3000 hadirin memenuhi Dewan Seri Sarjana, UNITEN.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucaptama di Konvensyen Pemikiran Hasan Al-Banna Dalam Melakar Agenda Bangsa di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di sini hari ini. Konvensyen anjuran bersama ISMA dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ini menyaksikan kehadiran hampir 3000 orang peserta dari seluruh negara merangkumi pelbagai lapisan masyarakat.

Konvensyen ini dianjurkan dengan objektif untuk memberikan kefahaman tentang manhaj perubahan Islam, memberi kesedaran tentang kepentingan aspek Maqasid Syarak dalam menilai situasi politik semasa, memberikan tasawur agenda perubahan yang jelas, praktikal dan berkesan serta mengukuhkan kesedaran dan keyakinan mengenai pilihan penyelesaian Islam terhadap kemelut umat.

Menurut Ustaz Abdullah Zaik, pemikiran Hasan Al-Banna dipilih sebagai tema konvensyen ini kerana pemikiran beliau yang kekal segar sebagai pelopor pemikiran alternatif yang mendominasi pemikiran perubahan pada abad ini. Hasan Al-Banna telah berjaya menggali daripada intipati agama Islam dan sejarah perjuangan pelbagai bangsa di dunia satu formula untuk mengembalikan kehidupan kepada jasad ummah yang sedang lumpuh. Pemikiran beliau juga paling sesuai dalam menghadapi agenda humanisme Barat yang sedang menguasai dunia ketika ini.

Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan iaitu “Pemikiran Hasan al-Banna dan Ideologi Barat: Pertembungan Antara Dua Aliran” oleh Ustaz Mohd Rusdi bin Alias (Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia ISMA), “Pandangan Hasan Al-Banna Terhadap Agenda Pembangunan Ummah dan Pelaksanaannya di Malaysia” oleh Ustaz Mohd Hazizi bin Abdul Rahman (Timbalan Setiausaha Agung ISMA) dan “Menilai Kemelut Politik Tempatan Berdasarkan Maqasid Syarak” oleh Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni (Naib Presiden II ISMA).

Oleh: Mohd Firdaus Sabturani
Ketua Pengarang
Media ISMA

– diambil daripada laman web ISMA dalam entri bertajuk ISMA seru Melayu bersatu bangunkan keperibadian bangsa

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: