Adik sayang ummi..

– diambil daripada alam maya.. sumber asal masih belum diketahui.. –

Malam telah larut. Di luar, hujan masih lebat membasahi bumi. Kedinginan mencengkam hingga ke tulang hitam. Aishah masih seperti tadi. Dia menyendiri dalam kedinginan, memerhati ke arah kerlipan cahaya neon yang berbalam di dalam hujan. Jalur-jalur air yang menitis, turun memanjang di permukaan tingkap menjadi santapan matanya. Sesekali jemari halusnya mencorakkan tulisan dan lukisan pada wajah cermin yang berkabus kerana cuaca yang sejuk.

Waktu adik kecil-kecil dulu, kalau hujan sahaja, pasti ummi akan datang mencarinya. Pastinya ummi akan eratkan dakapan selimut tebal ke tubuhnya. Tatkala guruh dan kilat bersabung di langit, ummi tak pernah lekang mendakapnya hangat, mencairkan ketakutan yang membeku dalam dirinya. Tiba-tiba dia disapa rindu yang teramat. Ummi, adik rindu.

Aishah menarik langsir menutupi ruang jendela. Dia merapati meja tulis, pena yang terbaring diatas meja dicapai. Diloretkan diatas kertas kajang berwarna biru, warkah terakhir untuk ummi. Disuarakan segala yang bersarang di lubuk hati. Rasanya, dia tak sempat menyampaikan hajat ummi. Terlalu hampir rasanya dirinya dengan noktah kehidupan.

************************************************** ****************************

“Adik jangan takut, ummi ada sini, adik tidur baik-baik ya,” kucupan hangat dari bibir ummi melekat di dahinya.

Ketakutan yang beraja telah berjaya ummi hambat. Dia lena dalam dakapan kasih seorang ummi. Dia lena hingga matahari mula menyuluh alam, dia terjaga bila titis embun mula mengering di hujung daun.

“Ummi tu selalu sangat manjakan adik, bila lagi dia nak berdikari?” paginya yang ceria kembali suram tatkala mendengar kata-kata along. Dia hanya mematikan diri di atas tangga, menanti bait-bait ayat yang bakal dibahaskan berkenaan dirinya.

“Adik tu kan kecil lagi, tak salah ummi temankan dia,” sambil sibuk menyediakan sarapan untuk abah, along, angah dan adik, ummi tetap melayan along bersembang.

“Kecil apa ummi, dah tingkatan 1, dah besar,” sampuk angah.

Dia perhatikan sahaja dari anak tangga, betapa along dan angah manja dilayan abah dan ummi. Rasa lapar adik hilang, terbantut langkah adik untuk menyertai mereka.

“Adik, mari cepat, kejap lagi bas sekolah sampai,” ummi menggamit adik dengan senyum manis. Langkah adik agak perlahan, adik tidak sanggup menghadap rezeki dengan rasa benci dari orang semeja.

“Lewat lagi, hari-hari lewat, pemalas betul,” dengus angah. Adik tidak mengangkat wajah, adik takut membalas pandangan benci wajah angah.

“Sudah, makanlah cepat, tak habis-habis nak berbalah,” ummi menuangkan susu dalam cawan adik. Ummi suakan pinggan berisi nasi goreng depan adik.
“Makan adik, nanti lapar dalam kelas,” sambil bercakap, ummi usap ubun-ubun kepala adik. Lapang rasa dada adik, sentuhan ummi berjaya mengambus kepiluan dalam jiwa adik.

************************************************** ****************************

Hari ni semua pelajar datang ke sekolah dengan ibu dan ayah masing-masing. Meja di dalam kelas telah disusun ke tepi, hanya kerusi disusun memanjang, supaya senang ibu dan ayah pelajar menanti giliran berjumpa guru.

Adik masih lagi bersendirian. Abah dan ummi pergi ke kelas along dan angah dulu. Ramai teman-teman adik yang telah pulang dengan membawa report card masing-masing. Adik duduk menghadap pintu masuk, dengan harapan agar abah dan ummi cepat sampai. Tinggal tiga orang sahaja lagi kawan adik menanti giliran berjumpa dengan Cikgu Zul. Wajah adik cerah, ummi yang memakai baju kurung pesak berwarna biru laut melangkah masuk dengan senyum. Adik menerpa ke arah ummi, adik salam dan cium tangan ummi, macam biasa-biasa yang adik lakukan.

“Abah mana?”adik tercari-cari. Senyum ummi berubah sedikit, agak kelat. Adik dapat baca apa yang tersirat dibalik perubahan wajah ummi.

“Tak apalah ummi, ummi datang ni pun dah cukup bersyukur bagi adik,” adik menarik tangan ummi ke sebuah kerusi berhampiran. Adik tak mahu mendengar alasan ummi, adik tak mahu ummi berbohong, mereka-reka alasan untuk menjaga perasaan adik. Adik tahu abah tak akan sudi hadir, adik tahu abah tak mahu tahu apa yang tercatat dalam report card adik.

“Aishah,” Cikgu Zul memanggil. Adik bangun, berpimpin tangan dengan ummi.

“Anak puan ni pandai. Akademiknya bagus, cuma dia agak kurang aktif dalam aktiviti sukan,” Cikgu Zul meneliti report card adik.

“Dia tak berapa sihat cikgu, doktor menyarankan agar dia tak berapa aktif, sebab dia ada asma,” jelas ummi, adik tahu Cikgu Zul sudah sedia maklum tentang masalah kesihatan adik. Cikgu Zul sekadar mengangguk.

“Tahniah Aishah, awak berjaya lagi, nombor satu tu macam kepunyaan awak seorang,” Cikgu Zul senyum, adik dan ummi membalas senyum Cikgu Zul dengan perasaan senang.

“Terima kasih cikgu, ini semua kerana dorongan guru-guru dan kerjasama kawan-kawan,” balas adik merendah diri.

Hari itu, adik pulang sekolah awal, pulang dengan ummi menaiki teksi. Adik tengok kereta abah dah ada di dalam garage. Adik tahu abah balik dengan along dan angah, adik tak marah, adik lebih selesa begitu. Asalkan ada ummi, adik cukup bahagia.

“Anak manja ummi dapat nombor berapa?” along menegur. Ada riak cemburu dalam matanya.

“Macam biasalah,”balas ummi ceria.

“Alah, nasib baik aje tu,” cebik angah pula.

“Isk, jangan cakap begitu, anak-anak ummikan semuanya pandai-pandai. Along dah angah pun dapat nombor 5 kebawahkan, ummi bangga dengan semua anak ummi,” ummi mendekati along dan angah yang sedang menonton televisyen. Adik tak nampak abah, mungkin berada di dalam bilik, sedang tidur barangkali.

“Ummi, adik naik dulu ya,” adik lebih senang memerap dengan buku-buku didalam bilik. Jarang sekali adik berkumpul dengan ahli keluarga lain di ruang tamu. Adik tahu kehadiran adik tidak dialu-alukan.

“Iyalah, nanti lepas solat zuhur, turun makan ya,” ummi sempat berpesan.

************************************************** ****************************

Adik masuk tingkatan 3 tahun ini, along dan angah pula dah tamat sekolah. Along berjaya menginjakkan kaki ke UPM selepas tamat STPM, angah pula bejaya memasuki Politeknik Shah Alam, selepas mendapat sijil SPM. Tahun ini, adik bertungkus lumus untuk menghadapi PMR. Adik agak tenang, kerana along dan angah tiada dirumah. Adik bebas bermanja dengan ummi, adik riang duduk di setiap inci manapun ruang dalam rumah banglo dua tingkat itu. Abah masih macam dulu, kurang bercakap kalau bersama dengan adik, tapi adik tahu abah sayang adik. Abah tak pernah susut menghulurkan duit belanja untuk adik. Abah masukkan adik ke kelas tuisyen, abah hantar adik ke kelas mengaji Quran, adik tahu, abah sayang adik. Cuma abah tidak banyak mulut kalau bersama adik, tidak macam bersama along dan angah, abah cukup banyak bicara.

Kadangkala, adik terfikir, apa salah adik. Di mana kurangnya adik berbanding along dan angah. Adakah kerana adik lahir dalam suasana yang salah? Agaknya adik ni terlalu menyusahkan bagi mereka. Adik tak mahu fikirkan sangat, kalau adik fikir banyak, kepala adik akan sakit.

Adik rasa hari berganjak terlalu cepat, adik telah berjaya dalam spm. 9A1, ummilah manusia paling gembira. Ummi kucup wajah adik, ummi peluk adik kemas dalam dakapan. Ummi tak sudah-sudah memanjatkan syukur ke hadrat ilahi. Adik menangis dalam pelukan ummi. Adik menangis kerana usaha adik berhasil. Adik menangis kerana abah ucap tahniah, pertama kali dalam hidup adik, abah tampil mengucap kalimat berharga itu. Walau ucapan abah dalam nada agak dingin, mungkin kerana abah tak biasa mengucapkannya, adik cukup rasa seronok. Adik seronok hingga menitiskan air mata. Adik terlalu gembira dengan sepotong ayat dari abah, ‘tahniah adik,’ adik cukup terharu.

Adik tak boleh bermanja-manja lagi dengan ummi. Adik mendapat tawaran menyambung pelajaran ke UUM. Adik terpaksa berjauhan dengan ummi. Adik korbankan kasih sayang adik demi memenuhi tanggungjawab adik sebagai pelajar. Adik jarang balik ke rumah. Adik tak mahu along dan angah kata adik menghabiskan duit dengan tambang pergi balik. Adik tidak sanggup mendengar sindiran tajam dari mereka. Tapi, adik ada alasan yang lebih kukuh.

“Ummi lebih sayangkan anak angkat dari anak sendiri,” sewaktu melintasi bilik ummi, adik terdengar along bercakap dalam nada kasar. Adik berhenti seketika, anak angkat? Siapa anak angkat?

“Ummi sayang semua anak ummi sama rata. Bagi ummi, adik dah umpama anak kandung ummi sendiri,” sayu suara ummi singgah di telinga adik. Adik hampir terduduk, lutut adik lemah, tulang adik rasa rapuh, badan adik hampir tidak dapat diampu lagi.

“Apa yang adik nak, mesti dapat, along minta sikit aje dari ummi, semua ummi kata akan bincang dengan abah,” adik benci mendengar along berkasar dengan ummi. Adik tak suka hati ummi dicalari, lebih-lebih lagi kerana adik.

“Ummi tak ada duit sebanyak itu, along mintalah dengan abah, ummi pasti abah pasti bagi. Lagipun, buat apa along nak pakai kereta, alongkan baru aje kerja, motor tu pun baru lagi,” adik tidak menanti lama. Adik tak mahu tahu apa yang dibicarakan oleh ummi dan along. Pokoknya sekarang, adik dah tahu bahawa selama ini adik dicemuh kerana adik hanya anak angkat.

Terusai sudah segala persoalan di kepala adik sejak bertahun dulu. Adik tahu kini mengapa adik tidak diterima sebagai ahli keluarga, adik mengerti mengapa adik dilayan sebegitu rupa. Adik hanyalah anak angkat. Patutlah adik ada sedikit perbezaan dengan along dan angah. Kulit adik agak cerah, rambut adik pula beralun dengan warna keemasan, tidak hitam dan lurus seperti along dan angah. Tapi ummi kata, tak semestinya adik beradik kena sama. Dalam setandan kelapa, tak semuanya sama. Ramai lagi orang lain adik-beradik rupa tak sama. Adik percaya, adik lupakan sahaja persoalan itu. Hari ini, adik telah mengetahui kisah sebenar. Sampai hati ummi merahsiakan dari adik. Kalau adik tahu dari awal, adik tak akan melebih-lebih mengharap kasih ummi. Adik tidak akan bermanja dengan ummi hingga along dan angah cemburu.

Ummi menangis bila adik persoalkan status adik. Adik rasa berdosa buat ummi menitiskan air mata. Tapi adik perlu tahu, adik mahu segala yang samar diperjelaskan. Adik tidak mahu hidup dalam kekeliruan.

“Adik, ummi sayang adik macam anak kandung ummi,” ummi peluk adik. Bahu adik basah dengan air mata ummi.

“Adik tahu, terima kasih ummi,” adik turut menangis, malang sungguh hidup adik, dah lah terbuang, hidup menumpang pula tidak disukai orang.

“Ummi jumpa adik depan pintu pagar. Masa tu ummi nak pergi pasar, ummi jumpa adik dalam balutan kain batik. Ummi pujuk abah, ummi rayu abah agar ambil adik sebagai anak angkat,” hati adik tersayat luka. Sampai hati ibu adik membuang adik. Dari lembah manakah adik dilahirkan? Dari salur manakah adik tercipta?

“Ummi ceritakan pada along dengan angah bila mereka dah mula faham. Ummi mahu mereka sayang adik seperti adik sendiri,”.

Tapi adik tak diterimakan ummi? Adik tahu, siapalah adik, entah dari mana asal usul, entah darah dalam badan adik ini bersih ke kotor. Adik tak salahkan along dan angah kalau mereka membenci adik.

“Adik, jangan tinggalkan ummi, ummi tak boleh berpisah dengan adik,” rayuan ummi membuatkan hati adik bertambah sedih. Alangkah bahagianya adik kalau ummi adalah ummi kandung adik. Bersyukur teramat adik kerana dipertemukan dengan ummi, ummi yang pengasih, ummi yang penyayang.

“Adik janji, adik akan sayang ummi, kasih sayang adik tak akan tersukat dengan luasnya lautan, tak akan dapat diukur dengan tingginya gunung atau banjaran,”adik cium wajah ummi.

Adik meneruskan pengajian adik, matlamat adik hanya satu, adik nak lulus. Adik nak hadiahkan kejayaan adik untuk ummi. Satu-satunya insan di muka bumi ini yang sudi mengasihi adik seikhlas-ikhlasnya. Adik selalu diserang asma, tapi adik biarkan. Adik tidak mahu khabarkan pada ummi, adik tak mahu ummi susah hati. Kepala adik pun selalu sakit, adik diamkan juga. Bagi adik, adik sakit kepala kerana migraine, kerana terlalu banyak membaca, kerana adik gila study. Adik pendamkan rasa sakit dan adik hanya akan menelan panadol, selebihnya, adik jadikan ummi sebagai penawar segala penyakit. Adik akan call ummi, bercerita dengan ummi, adik akan luahkan segala rasa kasih adik atas muka kertas, adik coretkan betapa bahagia adik ditanah Sintok ini.

Segala khabar adik adalah yang indah-indah dan baik-baik belaka. Adik mahu ummi senang hati, adik mahu ummi bahagia. Adik bariskan pelbagai alasan bila ummi tanya kenapa adik tak balik bercuti. Adik senaraikan aktiviti yang adik kena ikuti untuk menambah point permarkahan gred adik. Ummi memujuk adik untuk pulang sehari dua. Adik berjanji akan pulang, adik akan pulang juga satu hari nanti. Ummi hanya perlu tunggu. Kesakitan adik rasanya telah meruncing. Di hari akhir peperiksaan terakhir, adik pengsan dalam dewan peperiksaan. Adik dikejarkan ke hospital. Adik didapati menghidap barah, peringkat akhir. Adik minta doktor rahsiakan, adik merayu doktor agar jangan diberitakan perkara tersebut kepada ahli keluarga. Adik akan khabarkan sendiri berita itu pada mereka. Adik sebenarnya tak mahu ummi menangis lagi. Cukuplah tangisan ummi yang lepas-lepas sewaktu mempertahankan adik dirumah itu. Adik tak mahu ummi terluka lagi.

Pada ummi, adik memberitahu, adik dapat tawaran kerja yang baik di bumi Kedah. Adik akan balik bila ada cuti, ada sendu pada suara ummi. Maafkan adik ummi, adik sebenarnya kena menjadi tetamu hospital. Adik harus menjalani rawatan. Adik tak mahu ummi lihat badan adik yang susut, adik tak mahu ummi menangis melihat kesan jarum suntikan di lengan adik. Adik tak mahu melihat ummi sedih. Adik harus kuat menghadapi derita ini, kerana itu adik tak mahu melihat derai air mata ummi, kerana air mata ummi hanya akan merobohkan kekuatan adik.

Assalamua’laikum,

Buat tatapan ummi yang tercinta,

Ummi, terlebih dahulu, ampunkan adik kerana tidak dapat berjumpa dengan ummi seperti yang ummi hajatkan. Adik tetap pulang, cuma pulang dengan jasad, tanpa roh dan nyawa. Kesatlah air mata tu ummi, adik tak tahan tengok ummi menangis. Ummi sayang adikkan, ummi jangan marah adik kerana tidak pulang kepangkuan ummi dengan segera.

Ummi, maafkan adik kerana tidak memberitahu perkara sebenar dari awal. Adik tak mahu, dengan pendedahan penderitaan penyakit ini, along dan angah akan menuduh adik sengaja memancing perhatian abah dan ummi.

Ummi, adik terlalu rindukan ummi. Adik rindu kucupan hangat ummi, adik rindu untuk tidur dalam dakapan kasih ummi. Adik rindu untuk menatap wajah bersih ummi, senyum manis ummi, adik rindu belaian lembut ummi.

Ummi, adik sakit. Adik terlalu derita ummi. Perit ummi, adik dah tak tahan lagi. Ubat yang doctor bagi pahit, tak seenak masakan ummi, tak sesedap kuih tepung pelita kegemaran adik yang ummi selalu buatkan. Pagi tadi, adik pergi hospital lagi, doctor beri adik suntikan, hancur lengan adik dengan tosokan jarum, ummi. Adik ingin menangis, adik ingin merayu kepada doctor agar jangan cucuk tubuh badan adik. Adik tak sanggup lagi. Telah bertiub darah dari urat adik doctor ambil.Kalau masa kecil dulu, ummi ada untuk tuamkan lebam dilengan adik, kini adik sendiri, menghadapi segalanya seorang. Memang patut pun begitukan ummi, bukankah adik sebenarnya hanya sendirian dimuka bumi ini. Bukankah dari awal lagi adik telah terbuang, adik tidak diterima sesiapa.

Ummi, adik ingin meminta pertolongan ummi. Adik tahu, hanya pada ummi adik dapat hamparkan secebis harapan. Adik tak punya sesiapa, adik hanya ada ummi. Satu-satunya insan yang adik sayang, yang adik kasih dan adik junjung cinta hingga ke hujung nyawa adik.

Ummi, minta adik, sampaikanlah salam adik, salam penuh kasih sayang, salam yang sarat dengan penghargaan dan terima kasih, buat abah, along dan angah.

Ummi, khabarkan pada mereka, adik terlalu kasihkan mereka. Beritakan pada mereka, adik tidak pernah menyimpan sebarang dendam atau rasa marah di hujung hati ini terhadap mereka. Yang ada dalam hati adik, hanya rasa kasih, sayang dan cinta yang tak pernah padam walaupun telah ditiup dengan pelbagai tohmahan, tuduhan, hinaan dan kebencian. Adik tetap anak ummi yang ummi susukan sejak kecil, adik tetap adik yang pemaaf, pengasih dan penyayang.

Ummi, jelaskan pada mereka, adik telah ampunkan segala ketelanjuran mereka, samada bicara atau perbuatan mereka terhadap adik. Adik faham, kehadiran adik telah merampas kemakmuran dan kebahagiaan mereka. Adik mengerti, perbuatan mereka didorong rasa terancam dengan kehadiran adik.

Ummi, katakan pada abah, adik terlalu menghormatinya. Tanpa abah adik tak akan belajar sampai pandai.Cuma, adik tak sempat menghadiri konvokesyen, adik tak sempat mendengar ucapan yang teramat adik rindu dari bibir abah, ‘tahniah adik’. Adik harap abah akan tetap ucapkan tahniah, walau tanpa adik didepan abah. Tanpa abah, adik tidak mampu berdikari diatas kaki sendiri. Hulurkan salam peluk cium dari adik untuk abah. Sujud sembah ampun adik untuk abah, rayulah bagi pihak adik ummi, agar abah halalkan segala makan, minum dan perbelanjaan abah dalam membesarkan adik.

Ummi, adik terlalu sakit ummi. Setiap hari adik pohon dalam doa, agar Allah leraikan penderitaan ini. Adik tak lupa juga panjatkan dalam doa adik, agar Allah pelihara ummi, abah, along dan angah. Adik minta Allah berkati hidup kita sekeluarga. Adik memohon agar andai nyawa yang dipinjamkan diambil semula, biarlah ada orang yang sudi hulurkan walau hanya sepotong ayat Al-Quran untuk adik. Rayu adik pada ummi, hadiahkanlah surah yassin untuk adik. Mesti adik akan senyum, adik pasti bahagia walau adik pergi dalam derita yang teramat. Adik suka dengar suara ummi melagukan bacaan Al-Quran. Adik tenang mendengar setiap kalimah yang ummi baca. Adik akan terus rindukan suara ummi yang lemak merdu itu. Tolong ya ummi, sampaikan pada abah, along dan angah, hadiahkanlah adik bacaan yassin, adik tak minta banyak. Tak perlu keluarkan wang, tak perlukan tenaga yang banyak, sikit aje adik minta, minta dengan penuh harap, hadiahkan lah adik dengan sesuatu yang adik suka.

Ummi, adik rasa Allah sayangkan adik. Mungkin hari ini, Allah akan makbulkan doa adik. Mungkin hari ini adalah pengakhiran derita adik. Allah akan mansuhkan penyakit adik ummi. Adik pernah bermohon, andai kematian adalah pengakhiran derita ini, adik sedia menerima. Adik sedia pergi dulu walaupun usia adik masih muda. Adik sedia meninggalkan muka bumi ini walaupun adik masih belum puas bermanja dengan ummi. Lagipun, tiada siapa yang akan meratap pemergian adik nanti. Yang adik pasti, hanya ummi seorang yang akan merasa kehilangan adik. Ummi seorang yang akan bersedih dengan pemergian adik. Tapi, adik yakin, sedih ummi hanya sekejap. Kepiluan ummi akan terubat dengan adanya abah, dengan kehadiran along dan angah dalam hidup ummi. Pastinya warna kehidupan ummi indah, ceria walau tanpa adik.

Ummi, di pengakhiran warkah ini, adik dengan rasa rendah diri, dengan penuh kasih, memohon ampun dan maaf dari ummi. Adik pinta halalkan seawal titis susu yang ummi suapkan hinggalah segala apa yang adik makan atau minum. Setiap kelakuan adik, setiap kesilapan, pinta adik, ampunkanlah. Rayu adik pada ummi, sayangilah adik walau adik telah tiada. Pada abah, along dan angah jua, maaf adik pinta, dari hujung bilah rambut hingga ke hujung jari kaki, sepuluh jari adik susun, relakan pemergian adik. Jangan ada sebarang kesalan, jangan simpan rasa kecewa dalam hati. Biarlah apa yang terjadi, dibawa angin lalu, yang lepas biar jadi sejarah.Terima kasih yang tak terhingga kepada ummi dan abah kerana sudi mengasuh adik, walaupun ibu kandung adik sendiri menolak kehadiran adik di bumi ini. Hanya Allah yang akan membalas jasa ummi dan abah. Adik redha dengan ketentuan yang diturunkan Allah ini. Segalanya punya hikmah yang tersembunyi.

Ummi, sayang rasanya untuk pergi, ralat rasanya tidak dapat menatap wajah ummi sebelum adik berangkat. Teringin sangat adik mendakap tubuh ummi, mencium seluruh wajah ummi. Izinkan ummi, adik mengucup tangan dan wajah ummi dalam khayalan….

Ummi, abah, along dan angah, adik minta izin untuk pergi. Lambaian akhir ini, adik harap sudi disambut oleh kalian. Jangan iringi jasad adik dengan air mata. Rugi membazir air mata untuk seorang anak dan adik yang tak pernah bersinar dalam keluarga. Iringilah adik dengan doa agar adik tidak dicampak ke dalam relung panas menyambar, InsyaAllah.

Salam kasih, salam penuh kecintaan untuk ummi tersayang, abah, along dan angah terkasih, ampun kan adik, redhalah dengan takdir ilahi. Assalamua’laikum.

-suara hati adik-
Nur Aishah Abdullah.

Air mata ummi luruh, laju membasahi seluruh wajah. Ummi kesal, kerana tidak dapat mendakap Aishah. Ummi tak dapat penuhi impian dan permintaan terakhir adik, anak ummi yang amat jarang membuat permintaan.

Abah hanya kaku di sisi ummi, air mata abah yang mengalir, telah membuktikan yang abah turut terasa pemergian Aishah. Tapi abah tau, abah telah terlewat. Kali ini, adik pergi bukan dekat, kalau ke hujung dunia pun adik membawa diri, abah masih boleh mencari, boleh memujuk agar adik pulang ke rumah, tapi, perjalanan adik kali ini jauh, terlalu jauh untuk abah jejak. Penyesalan abah tidak berguna. Abah menyesal hanya setelah adik tiada, abah terjaga hanya setelah mendengar suara hati adik.

Along dan angah turut menangis. Mereka kesal, hati selembut dan sebaik adik tidak sepatutnya dirobekkan. Adik tidak pernah mengharapkan apa-apa, mahalkah harga sebuah kasih sayang?

Jenazah adik yang baru tiba, ummi mandikan, ummi kapankan. Ummi bersihkan seluruh tubuh adik, penuh kasih, ummi cium ubun-ubun adik. Itulah kucupan terakhir ummi. Ummi tahu adik dapat merasa kasih sayang yang keluar dari seluruh hati, urat dan jantung ummi. Ummi mahu adik tahu ummi terlalu kasihkan adik, walau adik bukan lahir dari rahim ummi. Adik, Nur Aishah Abdullah, adalah anak ummi dunia akhirat. Khidmat terakhir ummi untuk adik telah ummi laksanakan. Ummi sedekahkan bacaan Surah Yassin sepeti yang adik minta, walau tidak dimintapun, ummi tetap akan lagukan bacaan itu untuk adik. Ummi ingin adik ditempatkan di dalam syurga bersama dengan anak-anak solehah yang lain. Ummi iringi pemergian adik ke pusara aman dengan pandangan mata yang masih berkaca. Bibir ummi terkumat-kamit beristighfar, memujuk hati agar tidak menangis. Ummi tak mahu adik melihat ummi menangis, ummi mahu adik pergi dengan tenang. Adik, ummi sayang adik, sebagaimana dalamnya kasih sayang adik buat ummi.

– diambil daripada alam maya.. sumber asal masih belum diketahui.. –

3 comments
  1. subhanAllah, tulisan yang amat baik, menyentuh hati…

    Allahummaghfirlana zunubana waliwalidiina warhamhum kama rabbayana saghiira…

  2. The traveler said:

    Astaghfirullah. Kita mausia yang ada semua, masih merasa tak cukup dengan rezeki Allah.

  3. yang ikhlas said:

    ayat yang mudah tetapi tersusun plot nye dan menyentuh hati..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: