Pasangan menghormati perjuangan..

– diambil daripada laman web ISMA dalam artikel bertajuk Pasangan Menghormati Perjuangan

Di dalam membawa perjuangan Islam di tengah-tengah masyarakat yang tenggelam dengan berbagai nilai dan pengaruh asing, maka para pendakwah harus menginsafi bahawa institusi keluarga merupakan kubu dan markaz operasi yang sangat penting.

Bila kita menyebut perkataan “keluarga” maka janganlah digambarkan ianya adalah rumah yang kemas, kereta yang selesa, barang-barang perhiasan yang menyerikan dan seumpamanya. Bahkan hakikat sebenar “keluarga” ialah pasangan suami isteri dan seterusnya anak-anak setelah mana pasangan suami tersebut dikurniakan Allah zuriat. Suami dan isteri seharusnya memastikan bahawa mereka berdua adalah merupakan kubu dan markaz operasi Dakwah ke dalam masyarakat. Untuk mencapai peranan ini, perkara-perkara berikut hendaklah diambil perhatian dalam membentuk keluarga :

1- Suami atau isteri sebelum melangsungkan perkahwinan hendaklah terlebih dahulu dibentuk atau didik dengan didikan Islam yang baik. Ini termasuk memahami Islam dan menghayatinya di dalam seluruh aspek kehidupan, memahami bahawa dia ditugaskan oleh Allah swt untuk membawa Risalah Islam ini bukan sahaja untuk dirinya tetapi juga keluarganya yang akan dia bentuk nanti seterusnya kepada umat sejagat di muka bumi.

2- Ketika diambang perkahwinan, bakal suami dan bakal isteri yang sedang mencari jodoh harus memahami bahawa keluarga yang bakal dibentuk adalah merupakan anak tangga yang penting untuk melangkah seterusnya menuju pembentukan negara dan khilafah yang diredhai Allah swt. Hanya pasangan yang memahami dengan pemahaman yang akan nanti berperanan menyokong dan mendokong perjuangan pasangannya. Tatkala ramai pejuang Islam di Mesir dipenjarakan di zaman Presiden Jamal Abdul Naser termasuk Asy-Syeikh Mustafa Masyhur, isteri beliau sering mengingatkan anak-anaknya bahawa ayah mereka dipenjara kerana aqidah dan perjuangannya, sambil tidak menunjukkan kesan sedih atau kecewa di atas dugaan yang berlaku. Dalam ketiadaan pencari nafkah kerana dipenjara, isteri Mustafa Masyhur sempat menggembirakan anak-anaknya di Hari Raya dengan menjahit baju-baju Raya untuk mereka dari kain yang diambil dari langsir tingkap dan sarung kusyen di rumah! Demikian salah satu contoh mereka yang memahami erti perjuangan dan kepentingan keluarga dalam melalui jalan Dakwah ini.

3- Perjuangan adalah lebih penting dari keluarga. Namum pejuang Islam adalah lebih cemerlang dalam mengemudikan keluarganya berbanding dengan orang lain yang tidak berjuang. Selepas ditabalkan menjadi raja sehari, Asy-Mustafa Masyhur berkata kepada si isteri yang baru dikahwininya bahawa dia adalah isteri yang kedua. Dia sebenarnya telah berkahwin dengan isteri pertama yang sangat disayanginya dan tak mungkin akan berpisah dengannya. Dia harap agar isteri kedua yang baru dikahwini ini tidak akan cemburu terhadap isteri pertama tersebut yang telah dikahwini sejak sekian lama. Isterinya bertanya, “Siapakah dia?”. Mustafa Masyhur menjawab, “Isteri Pertama itu ialah Dakwah ilAllah (Perjuangan Menegakkan Agama Allah)”. Isterinya menjawab,”Isteri Pertama itu adalah tuanku dan aku adalah khadamnya”. Walaupun Dakwah mendapat tempat terpenting dalam hati mereka melebihi keluarga namun kebahgiaan dan kejayaan mewarnai keluarga yang dibina. Setelah 51 tahun hidup bersama, akhirnya si isteri meninggalkan suami yang dikasihi di dunia yang fana ini pada tahun 1996, dan si suami menyusul kemudian menuju kepada yang dirindui pada tahun 2004.

4- Pilihlah pasangan berdasarkan agamanya, bukan sekadar rupa paras, harta dan kedudukannya. Agama bermakna ilmu fardhu ain, akhlak, semangat juang, pengalaman, sikap, matlamat hidup dan sebagainya dari kualiti-kualiti dalaman diri bukan luarannya. Kualiti luaran seperti rupa paras, harta dan kedudukan akan pupus atau berkurangan dan membosankan di hari muka tetapi kualiti dalaman akan kekal bahkan bertambah lalu meningkatkan seri dan harmoni dalam rumahtangga. Kualiti dalaman akan memberi kesan mendalam kepada anak-anak dalam membentuk keperibadian mereka.

Berapa ramai yang kita lihat memiliki rupa paras, harta, dan kedudukan tetapi ianya sedikitpun tidak membantu dalam mengutuhkan institusi rumah tangga mereka. Hutang keliling pinggang, anak-anak meliar dan terjebak di dalam berbagai masalah sosial, tiada keharmonian dan kepuasan hati walau rumah besar dan perhiasan memenuhi ruang dan dinding. Ada koporat yang terpaksa makan sebiji pil tidur setiap malam sedang isteri makan setengah pil yang sama dan anak-anak bermacam-macam ragam yang merunsingkan.

Bukan contoh hanya terhad kepada mereka yang kurang memahami dan menghayati Islam dan bentuknya yang syumul dan lengkap, tetapi juga mereka yang pernah atau sedang terlibat di dalam Dakwah Islam juga adakalanya tidak terkecuali dalam menghadapi masalah yang sama. Masalah pengendalian rumah tangga, pendidikan Islam anak-anak dan sebagainya sehingga ke tahap tidak ada beza diantara keluarga du’at (para pendakwah) dengan keluarga mad’u atau awam (masyarakat yang didakwahkan). Kesannya, pasangan tidak memahami dan adakalanya menghalang secara langsung atau tak langsung aktivisma pasangannya dalam perjuangan umat, anak-anak tidak berminat menyertai aktiviti-aktiviti tarbiyah yang diatur kecuali jika dipaksa atau diajak berulangkali, anak terlibat dalam gejala sosial dan sebagainya.

Diantara masalah pasangan ialah tidak sepakat dalam merancang masa depan anak-anak, pemilihan sekolah anak-anak (samada sekolah Islam, sekolah agama, sekolah biasa, sekolah swasta, sekolah kerajaan dan sebagainya), budget bulanan (samada untuk yuran pendidikan dan tarbiyah anak-anak atau tukar kereta baru atau tambah bahagian rumah yang baru), jenis pakaian anak-anak terutama anak-anak perempuan, hobi anak-anak dan pasangan sendiri yang boleh memberi kesan langsung atau tak langsung kepada persekitaran keluarga dan sebagainya.

Mudah-mudahan sedikit tulisan ini dan tulisan-tulisan seterusnya akan membantu kita memimpin dan melayari kehidupan rumahtangga Islam yang berjaya. Sekian, terima kasih.

Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah
Naib Presiden ISMA 2007-2009

 

– diambil daripada laman web ISMA dalam artikel bertajuk Pasangan Menghormati Perjuangan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: