Walaupun sekelumit, ia tetap haram..

– dipetik daripada laman web Bahan Tarbiyyah Info dalam artikel bertajuk Walaupun Sekelumit, IA Tetap Haram

ditulis oleh : penapistola

ما أسكر كثيره فقليله حرام

Apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya adalah haram.

(Riwayat Abu Daud)

Hadis di atas memberikan kaedah syara’ yang umum merangkumi semua larangan dan perkara yang diharamkan seperti arak, dadah, judi dan sebagainya. Namun ia juga termasuk jenayah akhlaq yang seringkali kita tidak perasan bila kita melakukannya. Antara contoh jenayah akhlaq yang dimaksudkan adalah seperti mengumpat, zina, mencarut, memfitnah dan sebagainya.

Dalam tulisan Muhammad Qutb bertajuk Qabasat min ar-rasul, Sinaran Petunjuk Dari Rasul, beliau menyatakan bahawa sebenarnya kita sentiasa terdedah kepada kemabukkan dan ketagihan akhlaq yang buruk lantaran kebiasaan yang dibuat-buat dan diterima tanpa disedari oleh masyarakat. Erti “mabuk” yang sering kita fahami adalah keadaan hilang deria, tidak sedar dan hilang pertimbangan yang waras seperti orang yang meminum arak dalam kuantiti yang banyak. Namun begitu, beliau menyatakan bahawa ketagihan kepada sesuatu perkara itu juga adalah definisi yang boleh dicakup oleh kata “mabuk”. Maka tidak salah untuk kita menyatakan erti “mabuk” dalam konteks kebiasaan masyarakat adalah ketagihan yang membawa kepada implikasi negatif baik dari segi keadaan fizikal mahupun akhlaq dan sikap dengan kecenderungan membawa kemerbahayaan.

Melihatkan perkara ini dari pandangan seorang muslim, perkara asasi yang perlu kita fahami adalah keburukan atau akhlaq negatif itu adalah semua perkara yang ditetapkan sebagai berdosa jika dilakukan meskipun masyarakat melihatkan ia suatu kebiasaan. Contoh yang dapat kita bawakan adalah penerimaan kadar bunga di bank atau riba’, mengikat hubungan rapat antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim tanpa ikatan yang sah atau termanya couple, melihat aurat seseorang tanpa rasa bersalah meskipun sejantina apatah lagi berlainan jantina dan banyak lagi.

Memikirkan isu ini, dapat kita bawakan diri kita kepada pepatah yang popular, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Dengan hanya bermula mendengar rakan-rakan mengata, kemudian kita mula menambah ‘perisa’ akhirnya menjadikan kita ketagih untuk turut mengata dan mengumpat. Langkah pertama dengan hanya berbual ketika di dalam kelas, kemudian melempar senyuman dan kata-kata, akhirnya remaja terjebak dengan masalah pergaulan bebas, na’uzubillahiminzaalik, akhirnya membawa kepada bukit di perut. Perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama.

Kini tinggal pada kita untuk menilai, adakah kita ingin sampai kepada keharaman? Kita sedar ia salah, maka apa yang membuatkan kita menunggu untuk meninggalkan pemula kepada punca yang boleh membawa kita kepada neraka? Ataukah kita yakin bahawa kita akan punya peluang untuk bertaubat? Pintu taubat Allah memang sentiasa terbuka luas, tetapi Allah tidak pernah menjanjikan kita akan hidup untuk sampai pada hari esok, lusa atau bila-bila. Lebih baik jika ketagihan dengan perkara yang baik dan akhlaq yang terpuji dari jatuh mabuk kepada sifat-sifat jelik dan keji seperti mencarut, mengumpat, memfitnah, bercampur bebas lelaki perempuan dan sebagainya.

Sekali lagi, perjalanan yang jauh bermula dengan langkah yang satu. Menyempurnakan akhlaq itu sukar dan jauh, tapi ia tetap punya permulaan dengan langkah yang satu.

– dipetik daripada laman web Bahan Tarbiyyah Info dalam artikel bertajuk Walaupun Sekelumit, IA Tetap Haram –

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s