Memahami krisis ekonomi dunia.. siri 5..

– diambil daripada blog Ustaz Zaharuddin dalam artikel bertajuk Krisis Ekonomi Dari US ke UK : Ulasan & Perspektif Islam

Bencana krisis kewangan di USA telah merebak ke negara lain sedikit demi sedikit, jika ia tidak berjaya dipulih, sedikit lagi setiap kita akan merasai pedihnya.

Sekali lagi saya akan cuba menerangkan secara ringkas dan agak mudah apa yang berlaku kepada industri perbankan di United Kingdom dan lainnya. Saya akan cuba membawa ringkasan fakta disusuli beberapa pandangan Islam. Sekali lagi saya ingatkan bahawa ini hanyalah sebuah artikel ringkas yang ditulis untuk kefahaman pembaca bukan di bidang ekonomi dan kewangan. Diharap tulisan ini dapat serba sedikit mengisi kekosongan ulasan ilmuan Islam di Malaysia dan seluruh dunia berkaitan krisis ekonomi dunia terkini.

Ia ditulis secara mudah sekadar memberi pembaca gambaran dan kesan serta pandangan Islam terutama berkenaan pengambilalihan (nationalization) bank komersial, pemotongan interest rate dan lain-lain.

BAIL OUT : DARI AMERIKA KE UNITED KINGDOM

Jika sebelum ini saya telah menulis berkenaan bailout USD 700 billion yang diperuntukkan oleh kerajaan US untuk menyelamatkan beberapa buah bank dan institusi kewangan di USA.

Krisis kelihatan semakin merebak di US dan kini mula merebak ke United Kingdom dan beberapa buah negara lain.

Manakala situasi di USA semakin menjunam apabila sebuah bank konvensional riba bernama Washington Mutual yang asetnya bernilai USD307 bilion terpaksa ‘gulung tikar’, ia dijual kepada syarikat gergasi JP Morgan dengan harga USD 1.9 bilion sahaja. Semalam (9 Oktober 08) diwartakan saham di Amerika jatuh lagi ke tahap yang benar-benar teruk.

Di UK pula, HBOS iaitu salah sebuah institusi kewangan riba yang terbesar turut jatuh terlangkup. Mereka dibeli oleh Lloyds TSB.

Jatuh itu maksudnya, sama ada dibeli oleh bank lain ataupun dibeli oleh kerajaan melalui proses bailout. Itulah yang dinamakan ‘nationalization’.

BAIL OUT OLEH UK

UK Prime Minister Gordon Brown mengumumkan peruntukan £50bn (USD 88bn) untuk negara memilik sebahagian daripada kepentingan ekuiti dalam lapan bank utama negara itu, yang antaranya ialah HBOS, Lloyds TSB, Standard Chartered, Abbey dan Nationwide Building Society.

Kerajaan UK juga, melalui Bank Of England dalam skim yang dinamakan “special liquidity scheme”, menawarkan pinjaman jangka pendek sebanyak £200bn (USD 350bn) khas untuk memberi pinjaman kepada mana-mana bank yang memerlukan kecairan (tunai) segera untuk menyelesaikan masalah Mortgage Backed Securities (MBS) yang bermasalah terutamanya seperti Royal Bank of Scotland.

Selain itu, kerajaan UK juga menyediakan jaminan untuk setiap pinjaman jangka pendek dan sederhana untuk tempoh 3 tahun. Jaminan ini dianggarkan akan menelan kos sebanyak £250 billion.

Semua tiga cara kerajaan UK ini menjadikan jumlah bailout dari UK bernilai £500 billion! Rujuk sini

Lagi institusi kewangan lain di UK yang bakal dijadikan milik kerajaan adalah Bradford & Bingley (B&B). Kerajaan akan mengambil kawalan ke atas beban pinjaman institusi berkenaan yang bernilai sebanyak £50 billion,  manakala bahagian simpanan dan cawangannya yang bernilai £20 billion pula akan  dibeli oleh sebuah syarikat Sepanyol.

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN ‘NATIONALIZATION’

Apabila bank-bank komersial di nasionalisasikan ini bermakna ia telah menjadi sebahagian daripada institusi kerajaan dan bukan lagi sebuah syarikat swasta.

Pihak yang berfahaman ‘sosialis’ amat sukakan proses nasionalisasi ini, bagi mereka semua pengeluaran, pengagihan dan harta di dalam negara sepatutnya dimiliki dan dipegang oleh kerajaan bagi pihak rakyat.

Sistem ekonomi Islam tidak sependapat dengan fahaman ekonomi sosialis yang terlalu ingin meng’kerajaan’ segala-galanya.

Islam juga tidak bersetuju dengan cara ekonomi kapitalis yang terlalu membuka peluang begitu luas sehingga menjadikan untung sebagai fokus dan segala-galanya dalam dunia perniagaan dan kehidupan. Islam boleh dikatakan berada di pertengahan, ada perkara yang perlu di’kerajaan’kan dan ada yang tidak.

Islam juga membenarkan pencarian untung dalam dunia perniagaan namun ia mempunyai tanggungjawab dan limitasi seperti kewajiban zakat, kebajikan, berniaga dalam lunas yang halal dan pelbagai lagi. Limitasi moral dan nilai ini amat longgar dan hampir tiada dalam dunia ekonomi kapitalis.

Justeru, membiarkan semua bank komersial riba yang mengalami kerugian akibat kelemahan pengurusan dan ketamakan, lalu dibayar dengan sejumlah amat besar wang rakyatnya melalui proses ‘nasionalisasi’. Ia tidaklah boleh diterima oleh Islam.

Hasil dari nasionalisasi ini adalah berikut :-

  1. Harta dan aset ; harta dan asset bank atau syarikat tersebut sudah menjadi harta dan aset kerajaan.
  2. Halatuju ; Kerajaan berkuasa untuk menentukan halatuju bank yang telah diambil alih (jika peratusan pemilikkannya adalah terbesar), sebahagiannya berpendapat dengan demikian, ia lebih selamat berbanding swasta.
  3. Kurang Risiko ; Ia lebih baik kerana kerajaan akan sentiasa berimbang dalam mengejar keuntungan berbanding swasta yang sentiasa ingin perbanyak untung serta lebih mengambil risiko.
  4. Suasana Kerja Lebih Mudah ; Suasana pekerjaan lebih baik kerana amat jarang kerajaan membuang pekerja berbanding swasta yang sentiasa menagih prestasi tinggi.
  5. Aset Utama dimiliki ; Aset berharga tinggi dan amat diperlukan (terutamanya key services) lebih selamat dari dijual kepada pihak asing, berbanding swasta yang sentiasa ingin menggandakan wang walaupun dengan menjualnya kepada pihak asing. Masalahnya, adakah perbankan komersial ini amat amat diperlukan?. Kerajaan masih boleh membantu peminjam melalui pelbagai cara lain.

Namun begitu kebanyakkan usahawan-usahawan yang wujud di dalam pasaran memandangnya sebagai satu tindakan yang boleh membawa negatif kerana :-

  1. Prestasi kerja akan menurun, demikian semua maklum akan tekanan kerja di bawah swasta dan kerajaan. Tahap kecekapan akan menurun, situasi selesa amat boleh membawa padah.
  2. Kurangnya persaingan ; Menurut teori perniagaan, persaingan amat penting bagi mewujudkan pembangunan berkualiti.
  3. Bertambah campurtangan politik ; Apabila sebuah syarikat besar seperti bank komersial masuk dalam pemilikan kerajaan, campur tangan orang politik semakin mudah menyelinap dan akhirnya mewujudkan kelemahan keyakinan pelabur.
  4. Menyuburkan sikap ‘favoritism’ dalam bisnes. Selepas ini sudah tentu projek-projek besar kerajaan akan diberikan kepada syarikat di bawah naungannya atau yang mempunyai ikatan langsung dengannya. Hasilnya, syarikat swasta yang cekap kempunan dan kurang bisnes disebabkan asyik kalah tender dengan syarikat berkaitan kerajaan. Hal yang sama banyak berlaku di Malaysia.
  5. Meningkatkan beban kerajaan yang telah sedia banyak ; Setiap hutang yang sedia ada dan pengurusannya kini di bawah tanggungjawab kerajaan.
  6. Peluang pekerja semakin sukar ; Peluang para pekerja bank terbabit untuk naik atau naik gaji juga amat sukar apabila prose sini berlaku. Sebagaiman sukarnya kakitangan awam naik gaji dan pangkat, itu akan berlaku. Berbeza dengan swasta yang lebih responsif kepada kakitangan yang cemerlang dengan kepantasan peluang naik pangkat, gaji dan bonus. Ini bakal menyebabkan prestasi kerja menurun.
  7. Kerajaan Hilang Fokus Kebajikan ; Semua hutang yang terhasil dan berbaki dari syarikat gergasi yang dinasionalisasi akan menjadi beban kerajaan. Ini bermakna ia menjadi beban semua rakyat. Tanpa pengurusan dan pendapatan yang baik, kerajaan akan menaikkan cukai. Bayangkan, bagaimana proses ini boleh beri kesan negatif kepada rakyat. Di United Kingdom, sudah tersebar analisa dari pelbagai pihak, PELBAGAI CUKAI AKAN DINAIKKAN akibat dari bail-out ini!

Dalam Islam, nasionalisasi adalah amat diperlukan dalam sektor perkhidmatan utama seperti pengurusan air, makanan asasi seperti beras, eletrik, kesihatan dan lain-lain perkara asas bagi masyarakat. Ia penting bagi kerajaan mengawal harga dan kebajikan awam. Penswastaannya bakal membawa beban keapda rakyat ramai akibat harganya yang pasti meningkat kerana target sesebuah syarikat swasta adalah UNTUNG. Kerajaan tidak sewajarnya mempunyai target sebegitu sebagai sasaran utamanya.

Namun nasionalisasi dalam bidang komersial dan bisnes yang bukan TERDIRI DARI PERKARA asasi adalah tidak digalakkan di dalam Islam bagi mengawal hal negatif yang dinayatakan di atas.

ADAKAH BANK ANDA SELAMAT?

Cuba anda lihat saham bank anda di papan bursa saham, jika anda dapati sahamnya sedang jatuh dan terus jatuh, itu bukti kesannya semakin hampir dengan anda, termasuk juga saya.

Sebagai contoh, cuba anda lihat betapa teruknya saham Merrill Lynch jatuh,

Rajah : Saham Merril lynch

Lihat pula apa berlaku kepada saham Bank Bradford & Bingley yang akhirnya akan ambil alih oleh kerajaan.

Rajah : Kejatuhan Saham Bank Bradford & Bingley (8 Okt 08)

Macam mana mengaitkan saham dengan masalah bank?

Saya teringat seorang kenalan saya yang merupakan seorang jutawan melayu muslim yang hebat, founder kepada sebuah syarikat di papan utama bursa saham KL. Beliau pernah berkata apabila melihat screen naik turun harga saham :-

Apabila saham syarikatnya atau syarikat-syarikat yang dilaburinya naik dan turun,

“Bila naik sahaja, terus terasa kaya (walaupun itu baru merupakan untung atas kertas), namun apabila jatuh terasa demam dan miskin”

Secara mudah faham, harga saham itu menunjukkan nilai atau value sesebuah syarikat atau bank. Jika ia jatuh, bermakna nilai bank dan syarikat turut jatuh dan terkesan, dividen yang mampu diberikan kepada pelaburnya juga mengecut. Nilai bank itu mengecil dan keyakinan pelabur termasuk penyimpan juga pasti jatuh. Akhirnya, semakin ramai menjual sahamnya dan mengeluarkan simpanannya. Ini akan mengecilkan kemampuan bank ini untuk memperolehi tunai. Tanpa wang sebegini bank tidak mampu memberi pinjaman kepada pemohonan, tanpa pemberian pinjam, bank akan gagal memperolehi untung.

Keadaan ini boleh menyebabkan kegoncangan kepada pengurusan bank dan akhirnya pengurusan credit bank akan menjadi kurang yakin untuk memberikan pinjaman (kerana wang mereka juga sudah mengecil), malah jika mereka beri sekalipun, nescaya akan dipilih pelanggan yang benar-benar kukuh sahaja.

Selain itu, kesan dari kejatuhan nilai saham sesebuah syarikat yang tersenarai juga adalah;

‘rating’ yang diberikan kepada mereka oleh ‘Rating Agency’ akan turut jatuh, sebagai contoh pada 9 Oktober 2008, saham JP Morgan jatuh dan sekaligus menyebabkan agensi rating menyemak semula rating asalnya,

apa yang berlaku jika rating mereka jatuh?. Ini bermakna, setiap permohonan pinjaman kepada bank selepas ini akan dikenakan kadar faedah (interest) yang lebih tinggi. Itulah sifir perbankan, lagi berwibawa status kewangan anda, lagi murah anda boleh dapat, namun apabila anda jatuh wibawa, rate tinggi bakal menjelma.

Mengapa demikian?. kerana risiko yang ditanggung oleh bank lebih besar.

Apabila sesebuah bank bermasalah, semua pendeposit akan menghadapi masalah, contohnya salah sebuah bank yang terbesar di Iceland yang punyai banyak cawangan di UK jatuh lingkup. Dalam masa yang sama, pelbagai pihak kerajaan tempatan di UK dan polis menyimpan wang mereka dan melabur dalam bank tersebut, dianggarkan nilainya lebih £900 juta. Kini semua sektor awam yang terlibat sudah bimbang kerana terdapat kemungkinan wang mereka akan hangus bersama keruntuhan bank tersebut.

Laporan BBC menyebut :

So far more than 100 local authorities in England, Wales and Scotland have revealed that they have deposits worth £842.5m in total.

The figure is £946.8m when investments by police authorities and Transport for London are added

Bayangkan jika jumlah sebesar itu hangus begitu sahaja. Berita Lanjut.

Justeru, mana-mana syarikat besar, unit saham amanah, sektor awam di Malaysia yang ada menyimpan wang dan melabur di bank-bank besar di luar negara. Masalah bakal sampai kepada mereka dan akhirnya sampai kepada seluruh rakyat Malaysia.

‘CREDIT CRUNCH’ : APA BENDA TU?

Pihak bank berbuat demikian kerana bimbang akan tahap kemampuan kecairan dan kewangan mereka. Apabila ini berlaku, pihak bank juga akan semakin kurang membuat inter bank money market (penjelasan : biasanya pihak bank akan bertukar-tukar pinjam dan memberi pinjaman riba secara jangka pendek antara satu sama lain, semuanya bertujuan untuk mendapatkan untung atau menguruskan kewujudan aliran tunai bank masing-masing, inilah definisi mudah interbank money market),

Kelembapan interbank money market ini atas sebab kurang yakin mereka dengan keadaan tiada menentu ekonomi dan bimbang kerugian, pihak bank hanya akan luluskan pinjaman atau pembiayaan dengan kos yang lebih tinggi dan penilaian yang lebih ketat. Ini yang dinamakan dinamakan ‘Credit Crunch’ atau keruntuhan kredit, dan inilah yang sedang berlaku SEKARANG hampir di seluruh dunia bermula di USA dan merebak ke UK.

Antara sebab Kerajaan UK menyuntik berbillion pound tadi adalah juga dengan harapan agar pihak bank kembali melaksanakan kebiasaan interbank money market ini.

Pandangan Islam terhadap money market, kebanyakkan instrument yang wujud dalam money market ini adalah haram menurut ulama sedunia. Namun demikian dalam sistem perbankan Islam dan di Malaysia terutamanya, mereka mempunyai instrumen tersendiri dalam melaksanakan fungsi money market ini dan ia telah disahkan halal oleh Majlis Shariah Bank Negara Malaysia.

Kembali kepada isu ‘credit crunch’; kesan negatif dari credit crunch adalah semua industri pembuatan, perkilangan dan lain-lain industri perniagaan yang sentiasa memerlukan injeksi tunai akan terjejas kerana kesempitan tunai dan ‘cash flow’ (aliran tunai) yang tidak stabil, ringkasnya, mereka akan kekeringan wang untuk operasi mereka.

Kesan selanjutnya adalah pembuangan pekerja dan tiada kenaikan gaji atau bonus. Kesan dari itu, pekerja dan orang ramai akan gagal membayar pinjaman perumahan, kereta, kad kredit mereka dan lain-lain hutang. Bank akan menderita akibat peratusan gagal bayar hutang meningkat dan memaksa sesebuah bank gulung tikar atau dibeli oleh kerajaan. Bank riba juga menderita apabila TELAH MENJANJIKAN interest kepada seluruh pelabur di fixed deposit mereka dan akaun-akaun mereka. Ini mempercepatkan lagi runtuhnya bank ini.

Lantaran dari itu, ia akan menjadi semakin tenat dan memberi kesan kepada seluruh bank-bank lain yang berurusan dengannya, tatkala itu terpaksalah ia diambil alih oleh kerajaan dalam proses bail-out.

Sekali lagi saya ulangi, apabila sesebuah bank komersial diambil alih oleh pihak kerajaan iaitu secara injeksi tunai melalui pembelian saham bank terbabit, ini dinamakan ‘nationalized’. Kebaikan dan kelemahannya telah saya sebutkan di atas.

Inilah yang berlaku kepada semua firma yang di cop ‘nationalized’ dalam gambar rajah di bawah.

Gambar : Beberapa syarikat gergasi yang terlibat

Pembuangan pekerja bukan sahaja akan berlaku dalam industri pembuatan malah juga akan dan telah berlaku dalam industri perbankan. Sebagai contoh UBS Switzerland bank telah membuang 2000 orang pekerjanya akibat dari kesan ini.

KADAR FAEDAH DIKURANGKAN O.5 % & PANDANGAN ISLAM

Apa maksud ini?, keputusan telah dibuat negara-negara terbabit untuk mengurangkan kadar faedah (interest) sebanyak 0.5%.

Dari sudut pandang ekonomi tulen, ia adalah satu langkah yang ada kebaikannya dalam menyelesaikan masalah ekonomi semasa kini.

Hasil dari pengurangan ini mereka mengharapkan agar peminjam-peminjam mampu membayar hutang mereka kepada bank dengan lebih efisyen dan akhirnya akan mampu memulihkan masalah hutang tertunggak dan kekurangan aliran tunai bank.

Institusi kewangan di UK telah mengurangkan kadar dari 7% kepada 6.5%. Bank pusat China juga mengurangkan kadar riba sebanyak 0.27 % kepada 6.93%. Demikian juga tindakan oleh US Federal Reserve, European Central Bank (ECB), Bank of England, and the central banks of Canada, Sweden and Switzerland yang mana semua mereka membuat potongan riba secara kecemasan. Jepun tidak menurunkannya kerana dikatakan kadar yang sedia ada telah pun rendah.

Pakar mengatakan, jika lebih banyak bank pusat mengambil keputusan penurunan kadar faedah, ia lebih baik. Jika tidak ia hanya dilakukan oleh sesebuah bank pusat, ia sudah tentu akan menganggu nilai matawang negara berkenaan.

Pasaran sedang memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk mengambil langkah bersama seperti menurunkan kadar faedah pada Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Dunia di Washington pada Jumaat ini (10 Okt 2008).

Penurunan kadar faedah ini dijangka boleh memberikan sedikit kelegaan kepada peminjam hutang rumah yang semakin tenat. Kesannya, bayaran bulanan hutang rumah kepada bank akan berkurangan dari biasa. Jika di UK sebagai contoh, katalah anda sedang punyai hutang rumah sekitar GBP 150,000, maka bayaran hutang bulanan kepada bank dijanka berkurangan sedikit sebanyak GBP 47 sebulan.

Ketua Analisa ekonomi Antarabangsa di Capital berpendapat pemotongan ini hanya mampu memberikan kesan sementara untuk pemulihan keyakinan pelabur, namun ia belum mencukupi selagi tiada diubah seluruh sistem ekonomi.

PANDANGAN ISLAM BERKENAAN ‘INTEREST RATE CUT’

Jikalah ia sebuah Islamic Bank, proses memberikan diskaun atau melepaskan sebahagian beban daripada orang berhutang yang tidak punyai kemampuan adalah tepat dan amat baik. Ia bertepatan dengan firman Allah :-

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَى مَيْسَرَةٍ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya : Dan sekiranya mereka (yang berhutang) itu berada di dalam kesukaran, kamu berilah mereka tangguh sehingga mereka senang, dan jika kamu bersedeqah (beri diskaun termasuk dalam sedeqah) itu adalah lebih baik”  ( Al-Baqarah [2] : 280)

Namun dalam kes kadar faedah diturunkan ini, tiada banyak pujian boleh kita berikan juga kerana semuanya adalah riba riba riba. Sebagaimana saya tidak boleh memuji jika harga rokok dan arak diturunkan, demikian juga saya tidak boleh memuji kadar riba diturunkan.

Kita hanya boleh memuji jika ia dibuang terus dan diganti dengan sistem tanpa riba.

Menurut pakar, walaupun kadar faedah bagi pinjaman perumahan diturunkan, pihak bank akan masih tertekan. Menurut hukum asalnya, dalam keadaan credit crunch, pihak bank sangat ingin menaikkan interest rate dan bukannya menurunkannya kerana setiap dollar, pound atau ringgit yang dipinjamkan kepada peminjam sepatutnya menghasilkan lebih banyak ‘interest’ disebabkan wang tunai yang sukar diperolehi.

Apabila tiada jalan lain untuk memulihkan keyakinan pasaran terhadap industri bank, mereka terpaksa dalam derita setuju dengan potongan kadar faedah.

Namun demikian, mereka pasti cuba menghasilkan untung dari sektor yang lain. Justeru, pakar ekonomi menjangkakan peminjam-peminjam dari sektor Indstri Kecil dan Sederhana dan semua pinjaman korporat akan ditekan dengan kadar faedah yang lebih tinggi. Yang turun adalah pinjaman perumahan dari orang ramai,  pinjaman syarikat bagi perniagaan belum tentu lagi.

Kesannya adalah ‘back to square one’, iaitu perniagaan sukar mendapat kelulusan dan akhirnya memberi kesan kepada perkembangan industri dan pembuangan pekerja akan berlaku. Hari ini berita Wales, memaklumkan beribu-ribu pekerja sektor perbankan dan lain-lain mula dibuang kerja.

Saya juga tidak dapat nafikan, pemotongan ini beri sedikit kesan buruk kepada perbankan Islam yang kebanyakkannya menggunakan ‘fixed rate’ disebabkan oleh aqad jual beli sama ada Bai Bithaman Ajil (BBA) atau Murabahah yang mereka gunakan. Kecualilah jika mereka menggunakan produk BBA dengan kadar variable melalui sistem ibra’ (rebate).

Produk pembiayan perumahan yang menggunakan aqad Musharakah Mutanaqisah dan Ijarah Thumma Al-Bai tiada menghadapi sebarang masalah dalam isu potongan interest rate ini, mereka juga mampu menawarkan diskuan yang kompetetif buat pelanggannya. Semuanya halal. InshaAllah.

LAIN-LAIN KESAN SECARA RINGKAS

Lain-lain kesan dari keadaan ekonomi yang runcing dan tidak menentu ini adalah :-

  1. HARGA MINYAK
  2. Dijangka akan jatuh kerana pasaran bimbang dan tiada pasti samada permintaan minyak akan meningkat atau turun di musim kejatuhan ekonomi. Setakat 8 Oktober 2008, harga minyak telah jatuh lebih 40 % dari USD 150 kepada USD 87.15 per barrel. Ia adalah yang melegakan di musim krisis ekonomi.

  3. KEJATUHAN PASARAN SAHAM SEDUNIA
  4. Menurut fakta pada 7 Oktober 2008 :-

  • Pasaran saham UK, FTSE 100 index jatuh 7.1% kepada 4,278.
  • Germany’s DAX index is trading down 6.1%.
  • Singapore’s main Straits Times Index closes 6.61%, or 143.94 points, lower at 2,033.61,
  • Australia’s All-Ords index closes down 228.1 points, or 4.96%, at 4,369.8, a day after rallying in response to a 1 percentage point interest rate cut by the central bank.
  • Hong Kong’s main Hang Seng index closes down 1,372.03 points, or 8.17%, at 15,431.73
  • France’s CAC 40 jatuh 8.18% to 3,426, tahap terendah sejak December 2003.
  • Russia’s Micex exchange announces it is suspending trading until Friday after the index drops more than 14% in the first half-hour of trading
  • Japan’s Nikkei 225 index ditutup pada 952.58 mata, or 9.4%, pada 9,203.32 – merupakan kejatuhan terbesar dalama sehari dalam tempoh 21 tahun. Perdana Menteri Jepun, Taro Aso berkata pada hari Rabu lalu pasaran saham Nikkei 225 jauth lebih 10% dan mengatakan “ia adalah diluar imiginasi kami”, ia mendakwa terdapat kebimbangan luar biasa terhadap ekonomi negaranya.>
  • India  : India’s benchmark Sensex index sinks by 5.3% as fears of a global recession mount.
  • Indonesia : Trading is suspended for a day on the Indonesia Stock Exchange due to “irregularities” after the benchmark JSX index sank 10.4%, or 168.1 points
  • Malaysia ; Pada 7 Oktober 2008; Indeks komposit Malaysia jatuh 2.71% kepada 970.19 dengan 605 kaunter syarikat mengalami kerugian berbanding 117 yang beroleh untung
  • 3. HARGA DAN NILAI RUMAH JATUH
      Masalah kewangan yang sedang kita bentangkan ini juga memberi kesan langsung kepada harga atau nilai rumah di UK, demikian juga di Amerika. Dilaporkan bahawa harga nilai rumah jatuh house 1.3% dalam bulan September.      

      Industri perbankan meramalkan kejatuhan nilai itu beerti kejatuhan nilai tahunan sebanyak 12.4%,

      Penganalis di UK meramalkan nilai harga rumah akan jatuh ke paras maksimum iaitu 15% bulan depan.

      Begitulah serba ringkas bagaimana merebaknya krisis ekonomi US yang sudah menjadi krisi ekonomi dunia. Demikian juga beberapa pandangan Islam yang sempat saya coretkan untuk pengetahuan pembaca.

      Inflasi di UK juga bertambah meningkat, ia semakin membimbangkan.

      Rajah : Inflasi di United Kingdom

      4. HARGA EMAS NAIK

      Harga emas turut menjadi bertambah baik kesan dari krisis, ia kerana nilai emas yang diyakini dapat bertahan dalam kejatuhan nilai matawang sesebuah negara terutama USD.

    AKHIRNYA

    Semoga ada manfaatnya artikel ini dalam usaha memberikan gambaran ringkas dan mudah tentang apa yang berlaku dan bagaimana perspektif Islam secara ringkas.

    Harapan saya artikel ini mampu memberikan sedikit kelompongan ulasan dari ilmuan Islam berkenaan krisis ekonomi yang sedang terjadi di sekeliling kita.

    Sekian

    Zaharuddin Abd Rahman

    http://www.zaharuddin.net/

    9 Oktober 2008

    10 Syawwal 1429 H

    Wales, United Kingdom

     

    *****************************************
     

    Sila rujuk sini untuk beberapa glosari istilah kewangan yang mudah di dalam bahasa Inggeris.

    – diambil daripada blog Ustaz Zaharuddin dalam artikel bertajuk Krisis Ekonomi Dari US ke UK : Ulasan & Perspektif Islam –

    2 comments
    1. Mickle said:

      If you want to learn finance then here is a great place.
      specialized organization in Training (distance learning, workshops, corporate training and seminars) and Conlsultancy services (Islamic finance product development, vetting, auditing, etc) in the areas of Islamic Banking, Islamic Finance and Takaful. Click Below
      Learn Finance

    2. FaisaL said:

      thanks a lot.. a very good website indeed..

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

    Google+ photo

    You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

    Connecting to %s

    %d bloggers like this: