Terbakarkah hati kita?..

– diambil daripada laman web JAIS dalam khutbah bertajuk Perkukuhkan Ikatan Persaudaraan Islam dan juga versi tulisan jawi –

Saudara-saudara sidang jumaat yang dirahmati Allah,

Sekali lagi menerusi mimbar jumaat ini, saya mengingatkan diri saya dan saudara-saudara kaum muslimin sekalian, marilah kita terus berusaha dan berikhtiar bagi meningkatkan iman dan takwa kepada Allah, menerusi peningkatan ilmu dan ketaatan kepada Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Umat islam diingatkan oleh Allah tentang kejahatan dan kedegilan kaum yahudi setiap kali solat ketika membaca surah al-fatihah, ayat enam dan tujuh:

“Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka (yang terdiri daripada nabi-nabi, para siddiqqin, syuhada’ dan solihin, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai (yang terdiri daripada kaum yahudi), dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat (yakni kaum nasrani).”

(Surah al-Fatihah [1]:6-7)

Sidang jumaat yang dmuliakan,

Tarikh 21 Ogos adalah merupakan hari memperingati musibah atau peristiwa hitam yang menghiris hati dan perasaan umat islam seluruhnya, iaitu peristiwa pembakaran masjid al-Aqsa, yang menjadi qiblat pertama bagi umat Islam, bumi suci sesudah tanah haram Mekah dan Madinah, tempat nabi Muhammad s.a.w mengakhiri perjalanan di muka bumi dalam peristiwa isra’, sebelum Baginda s.a.w melakukan mikraj hingga sampai ke Sidratul Muntaha dan Mustawa, yang antara lain bertujuan bagi menerima perintah mendirikan solat lima waktu bagi diri Nabi s.a.w dan umatnya.

Tarikh 21 ogos, adalah hari peringatan ke-39 tahun sejarah pembakaran masjid al-Aqsa hingga ke saat ini, ancaman pembakaran tersebut masih terasa, terutama ancaman daripada kalangan yahudi yang radikal, selaras dengan peningkatan projek meyahudikan wilayah kudus dan projek merobohkan masjid al-Aqsa oleh rejim Israel. Pada tarikh ini dalam tahun 1969, tangan-tangan derhaka dan penuh dengki telah membakar masjid yang penuh berkat ini, sejak ia didirikan hingga berterusan sepanjang zaman.

Kini masjid ini dalam bahaya ancaman golongan yahudi radikal, ganas dan melampau, yang ingin menguasai tempat-tempat suci umat islam di wilayah Palestin yang terjajah. Peristiwa pembakaran ini adalah rentetan penodaan mereka terhadap masjidil Aqsa yang terus dilakukan hingga ke saat ini. Golongan zionis ini sering kali melanggar undang-undang dan ketetapan antara bangsa dengan sokongan dan dokongan daripada rejim israel. Mereka merobek semua hak bangsa Palestin, terutama terhadap peringatan-peringatan sejarah Islam.

Pembakaran pertama kali itu telah berlaku di bahagian timur masjidil Aqsa, yang terdapat di dalamnya masjid ‘Umar al-Khattab, mihrab Salahuddin dan mimbar Sultan Nuruddin Az-Zangi. Pada tahun 1969 juga, rejim Israel telah melenyapkan perkampungan Islam Mugharabah yang terletak di sisi masjidil Aqsa. Mereka juga menghancurkan semua bangunan yang bercirikan islam di sekitar masjidil Aqsa, dengan tujuan untuk menghilangkan semua identiti umat islam di wilayah tersebut. Termasuk dalam perbuatan buruk dan jahat mereka adalah menghancurkan jalan menuju ke makam muslimin yang terletak di al Haramul Quds.

Kaum muslimin yang dikasihi,

Kita sebagai insan yang beriman dan bertakwa, sudah pasti akan bertambah sedih bercampur marah, melihat telatah kejahatan yahudi yang paling berbahaya, iaitu meyahudikan al-Quds dengan melakukan semua cara dan kaedah tidak mengikut undang-undang yang sah, seperti rampasan tanah, hak milik dan bentuk-bentuk intimidasi (yakni menakut-nakutkan) terhadap bangsa arab dan kaum muslimin demi program imigrasi atau penghijrahan yahudi secara haram dari seluruh dunia ke wilayah al-Quds. Bahkan mereka ingin menjadikan wilayah tersebut sebagai ibu kota abadi yahudi. Israel secara terus menerus menyiksa dan menakut-nakutkan warga Palestin. Contohnya, dalam bulan Febuari 1994, sekalipun penduduk yahudi memukul jemaah masjid al-Ibrahim Hebron yang sedang mendirikan solat subuh.

Akibatnya, puluhan kaum muslimin terkorban syahid dan ratusan orang yang lain tercedera. Pada bulan yang sama, sejumlah kelompok yahudi radikal yang jahat dan melampau, mengancam akan menghancurkan masjidil Aqsa. Mereka merampas ribuan hektar tanah orang islam tempatan, yang merupakan sumber penghidupan bagi ratusan keluarga Palestin. Mereka membina tembok pemisah yang menyekat rakyat palestin ke masjid, ke sekolah,ke kebun dan berbagai lagi hak asasi.

Pada bulan julai 2004, pertubuhan bangsa-bangsa bersatu mengeluarkan ketetapan tentang penghapusan tembok pemisah tersebut, namun seolah-olah tidak ada apa-apa yang boleh menggugat projek hina tersebut. Peringatan kepada peristiwa pembakaran masjidil Aqsa kali ini berlangsung di tengah rancangan Israel menyahudikan warga al-Quds dan melarang penggunaan simbol-simbol Islam di wilayah tersebut. Mereka semakin meningkatkan rampasan tanah milik bangsa arab untuk dijadikan koloni (tanah jajahan bagi) penempatan yahudi dan usaha mereka untuk mengubah demokrasi (peta permukaan bumi) al-Quds dan penguasaan terhadap lembaga-lembaga dan yayasan milik Palestin.

Perlu diketahui bahawa 39 tahun sudah berlalu, namun kelompok yahudi radikal tidak bercanggah dari niat jahat mereka untuk menghancurkan masjidil Aqsa atas dokongan penuh rejim Israel. Dengan demikian kedudukan al-Aqsa saat ini semakin berbahaya. Semua tanda menunjukkan bahawa waktu penghancuran al-Aqsa semakin dekat.

Dimulai dengan penggalian terowong di bawah masjid, terutamanya terowong yang terletak di antara masjidl Aqsa dan perkampungan Silwan. Diteruskan pula dengan penggalian dan pembangunan gerbang al-Mugharabah. Bukti nyata niat mereka untuk menghancurkan masjidil Aqsa, dengan diberikan dana sebanyak 1.5 juta dolar untuk memperluas tembok al-Buraq dan gerbang al-Mugharabah. Disamping itu, dikenakan juga larangan masuk masjidil Aqsa bagi warga Palestin yang berumur kurang daripada 45 tahun serta larangan mengadakan kegiatan agama selain solat di dalam masjid. Semua larangan Israel ini berlangsung di tengah ketidak pedulian atau tidak ambil kisah dan tidak ambil berat mengenai masjidil Aqsa di kalangan bangsa arab tatkala rejim Israel semakin rakus dan ganas menghapuskan identiti Islam dari wilayah al-Quds.

Saudara-saudara kaum muslimin yang dikasihi sekalian,

Pendedahan kisah pahit dan malang yang menimpa bumi al-Quds, khususnya pembakaran masjidil Aqsa dan kedudukan bangsa arab Palestin, yang terus terancam sebentar tadi, kita harapkan:

1- Akan memberi kesedaran kepada umat Islam di negeri ini khususnya dan di Malaysia umumnya supaya meningkatkan kesepaduan dan mengambil pengajaran serta iktibar, mengenai bahaya dan keganasan kaum yahudi.

2- Perlu disedari bahawa, bahaya kejahatan yahudi sebenarnya bukan sekadar di Asia Barat, bahkan akan mengancam umat Islam dan kepentingan Islam di seluruh dunia. Termasuklah niat jahat mereka untuk menguasai atau menghancurkan Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Yang sudah pasti kuasa besar Amerika adalah menjadi pelindung kepada Israel dan ada negara kecil baru membangun, yang mengambil nasihat dari Israel untuk mengancam negara umat Islam.

3- Umat Islam hendaknya menyedari hakikat bahaya yang akan menimpa, sekiranya mereka berpecah-belah, bersifat hasad dengki dan tamak haloba sesama saudara Islam, dalam kebendaan, pengaruh, kuasa dan sebagainya, sehingga mengakibatkan benci-membenci dan bersengketa sesama sendiri walaupun sama-sama menganut Islam. Ingatlah firman Allah;

“Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya serta janganlah kamu saling berbantah, lalu menyebabkan kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan…..”

(Surah al-Anfal [8]:46)

4- Umat Islam di negeri ini khususnya dan di Malaysia umumnya, hendaklah meningkatkan rasa simpati terhadap saudara-saudara Islam daripada kalangan arab Palestin, samada yang masih tinggal di wilayah al-Quds, tanahair mereka sendiri, mahu pun yang menjadi pelarian di negara-negara jiran, yang mengalami penderitaan dan kesusahan akibat kezaliman rejim Israel. Marilah kita hayati peribahasa: Cubit paha kanan,paha kiri terasa sakit, jelasnya, kita turut sama sama merasai kesusahan dan penderitaan yang mereka hadapi. Hal ini telah pun diperkukuhkan dengan sabda Rasulullah s.a.w.;

“Perumpamaan orang yang beriman dalam ikatan kasih sayang, silaturrahim dan kemesraan, mereka adalah seperti tubuh yang satu, apabila ada anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuh atau anggota lain turut sakit atau demam sehingga tidak boleh tidur.”

(Hadith Riwayat Muslim)

Justeru, mari kita hulurkan derma dengan mengisi tabung yang disediakan oleh jawatankuasa memperingati hari al-Quds, demi mengurangkan penderitaan dan kesusahan mereka.

Akhirnya, kepada Allah kita berdoa dan berserah, semoga segala usaha yang baik dan niat kita yang ikhlas mendapat ganjaran dan diberkati Allah.

“Wahai Nabi!, berjihadlah (menentang) orang kafir dan orang munafiq serta bertindak keraslah terhadap mereka. (Sebenarnya) tempat mereka ialah neraka jahannam, iaitu seburuk-buruk tempat kembali.”

(Surah at-Tahrim [66]:9)

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha Berkuasa, kami bersyukur ke hadratMu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadratMu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budipekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianMu yang berat seperti banjir besar,kemarau panjang,wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat. 

– diambil daripada laman web JAIS dalam khutbah bertajuk Perkukuhkan Ikatan Persaudaraan Islam dan juga versi tulisan jawi –

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s