Nasihat Rasulullah kepada Ibnu ‘Abbas..

– diambil daripada blog ISMA Kedah dalam entri bertajuk Wahai Generasi Muda!

(Nasihat Rasulullah SAW kepada Ibnu ‘Abbas r.a.)

“Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajarkan kepadamu beberapa kalimah: Peliharalah Allah, nescaya Dia akan memeliharamu. Peliharalah Allah, kamu akan mendapatiNya bersamamu. Apabila kamu meminta sesuatu, maka mintalah daripada Allah. Apabila kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan daripada Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya jika seluruh manusia berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, mereka sekali-kali tidak akan dapat memberikan manfaat itu kepadamu kecuali sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu. Dan sekiranya mereka berhimpun untuk mendatangkan sesuatu bencana ke atasmu, mereka tidak akan dapat mendatangkannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasmu. Telah diangkat pena dan telah keringlah lembaran”

(Diriwayatkan dari Ibnud Abbas oleh Imam At Tirmidzi, katanya: Hadith hasan sahih)

Ibnu Rajab al-Hanbali berkata dalam kitabnya Jami’ Ulum wal Hikam: “Hadith ini mengandungi beberapa wasiat agung dan prinsip utama mengenai perkara-perkara terpenting yang berkaitan dengan agama ini.”

Nasihat Rasulullah s.a.w. di atas disampaikan kepada sepupu beliau iaitu Abdullah bin Abbas r.a, sedangkan ketika itu Ibnu Abbas masih diambang usia pemuda. Ianya bermaksud supaya ia dapat menggunakan usia muda, kekuatan dan kecergasan yang dimilikinya dengan sebaik mungkin. Lebih-lebih lagi pemuda adalah harapan ummah. Melalui tangan-tangan merekalah tertegaknya dakwah kebenaran dan keadilan. Sedangkan para pendokong kebatilan dan kejahatan sangat berhajat unutk menyesatkan mereka secara bersungguh-sungguh. Oleh itu pemuda amat berhajat kepada petunjuk dan bimbingan yang lebih, agar mereka tetap teguh berhadapan dengan iblis dari kalangan manusia dan jin.

  • Peliharalah Allah nescaya Allah memeliharamu.

Peliharalah Allah bermaksud berilitizam dengan perintah Allah, menjaga batasan dengan perintah Allah, menjaga batasan Allah, jangan menghampirinya dan jangan melampauinya. Laksanakanlah titah perintahNya dan jangan memandang remeh terhadapnya. Jauhi segala laranganNya dan binalah pendinding di antara diri dengan larangan itu. Maka Allah akan memeliharamu, agamamu dan aqidahmu daripada penyelewengan, menjauhkan dirimu daripada bisikan-bisikan nafsu dan kotoran kesesatan. Allah akan memeliharamu daripada syaitan serta menjagamu dari penganiyaan dan penindasan.

  • Peliharalah Allah nescaya Allah bersamamu.

Sekiranya kamu menjaga batasan-batasan hukum Allah nescaya Allah akan bersamamu. Allah akan mengawasimu, mengabulkan segala doamu, serta memenuhi segala keperluanmu. Firman Allah:

“Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Dia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahu kepada mereka pada hari kiamat, apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Mujadilah [58]:7)

Jagalah Allah melalui perjuangan menegakkan agamaNya, maka Allah akan menolongmu memenangkan agama Allah dengan menjadikanmu syahid atau hidup mulia, bukankah kamu mengharapkannya? Sesiapa yang memelihara Allah maka Allah bersamanya, mengawal, membantu, memelihara, menguatkan dan memberi taufiq kepadanya setiap kali dia diselubungi kegelapan dan tertekan dengan suasana.

  • Mintalah sesuatu hanya kepada Allah.

Allah sahajalah tempat seorang muslim meminta dalam segala urusannya kerana hanya Dialah yang mampu memberikan kurnia serta segala keperluan hidup makhlukNya. Dialah yang menciptakan alam semesta beserta isinya, maka Dia pulalah yang memilikinya. Alam serta seisinya merupakan kepunyaan Allah, manusia tiada memiliki sesuatu bahagian pun daripadanya. Sepertimana kata-kata hikmah: “Sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, dia tidak mampu untuk memberi”. Mintalah kepada Allah, zat yang tidak jemu memberi. Mintalah daripadaNya, zat yang tidak pernah tertutup pintu pemberianNya. Kerana meminta kepada selain daripadanya adalah kehinaan dan kerendahan. Mintalah hanya kepadaNya dengan penuh harap dan menunduk merendahkan suara, kerana sesungguhnya Dia tidak bisu lagi tuli.

  • Mintalah pertolongan daripada Allah.

Meminta pertolongan hanyalah kepada zat yang benar-benar kuat serta berkuasa. Kerana ianya dapat menjamin dan mampu memberikan pertolongan kepada yang memintanya. Seseorang hamba perlu kepada pertolongan dalam setiap urusan sama ada besar atau kecil. Tidak ada yang mampu memberikan pertolongan sedemikian kecuali hanya Allah. Selain daripadanya adalah makhluk yang tidak dapat menolak kemudharatan daripada dirinya sendiri mahupun orang lain, juga tak dapat mendatangkan kemanfaatan termasuklah kepada diri sendiri. Allah adalah zat yang Maha perkasa, yang tidak mungkin dapat ditewaskan oleh sesiapa sahaja. Sesiapa yang meminta pertolongan kepada selain daripada Allah adalah kehinaan dan kelemahan. FirmanNya:

“Jika engkau menolong Allah, Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu”

(Surah Muhammad [47]:7)

  • Bertawakal kepada Allah.

Seorang mukmin mestilah meyakini bahawa kebaikan dan bencana merupakan ketetapan Allah. Oleh itu ianya tidak akan mempedulikan hasil rancangan yang diatur dan dilakukan oleh makhluk, kerana sebarang kemanfaatan dan kemudharatan adalah tertakluk kepada kehendakNya. Makhluk, termasuk manusia hanyalah menjadi sebab untuk mereka mendapat balasan baik atau azab. Oleh itu berserah dirilah hanya kepada Allah. Tiada seorang manusia pun yang mampu mendatangkan sebarang kesusahan yang tidak ditetapkan oleh Allah atasmu, bahkan Allah akan melindungimu daripadanya. Begitu juga tiada seorang manusia pun yang dapat memperdayamu dengan memberikan sebarang manfaat, apa yang diingininya itu tidak mungkin terlaksana sekiranya Allah tidak mengkehendakinya. Allah berfirman:

“Tidak ada sesuatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri, melainkan telah tertulis di dalam kitab (lauh Mahfudz)”

(Surah al-Hadid [57]:22)

Bertawakallah, kerana tawakal akan melahirkan iman yang mantap untuk mempercayai qadha’ dan qadar Allah. Tawakal bukanlah menyerah kalah dengan nasib, tetapi tawakal adalah beramal dan melakukan ikhtiar bagi menjalankan perintah-perintah Allah serta menghadapi cabaran dari musuh-musuh Allah.

  • Masuklah ke dalam Islam secara kaffah.

Masuklah ke dalam Islam dengan pemahaman yang benar dan menyeluruh. Tidak diturunkan Islam oleh Allah kecuali sudah sempurna sepertimana yang dibawakan oleh Rasulullah. Ikuti Islam sepertimana yang diajarkan oleh Rasul s.a.w. tanpa menambah dan mengurangi, kerana ianya telah lengkap dan sempurna. Telah diangkat pena dan telah habis lembaran-lembaran. Firman Allah:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agamamu dan telah Aku sempurnakan atasmu nikmatKu dan Aku redha kepadamu Islam sebagai agamamu”

(Surah al-Maidah [5]:3)

Islam adalah ajaran yang telah lengkap dalam berbagai-bagai sendi kehidupan. Oleh itu jadikanlah ia sebagai kayu ukur dalam menempuh bahtera hidup, nescaya kamu akan selamat. Perintah Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya”

( Surah al-Baqarah [2]:208 )

 

Artikel ini dipetik dari Mihwar bil. 13 tahun 2002.

 

 

– diambil daripada blog ISMA Kedah dalam entri bertajuk Wahai Generasi Muda!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: