Apakah kalian bersamaku?..

agak kekok untuk menulis setelah sekian lama tidak menulis.. tetapi bacaan hari ini mendorong insan yang dhaif ini.. insan yang sedar akan hakikat kerosakan dan kehancuran jiwa manusia pada hari ini.. insan yang takut perkara terjadi berulang di kemudian hari.. insan yang bimbang akan disoalkan tanggungjawab diri ini di akhirat nanti.. di atas beberapa asbab inilah, rasa terpanggil untuk meluahkan rasa hati..

disebabkan ini hanyalah sekadar luahan hati, maka boleh jadi bahasa yang digunakan tidak teratur dan sukar difahami.. dan tidak dikatakan bahawa ia akan menjadi satu luahan yang singkat.. malahan ianya pasti akan meleret panjang.. namun akan cuba untuk diri ini singkatkan selagi mana termampu.. kerana rasa yang ingin diluahkan, andai kata disekatnya, pasti penyampaiannya tidak seperti apa yang dirasakan sebenarnya.. dengan itu, jutaan kemaafan dipohon dari awalnya.. moga dengan luahan yang mungkin panjang bagi kalian, tetapi sangat singkat bagi diriku ini dapat sedikit sebanyak membantu diriku.. menguatkan lagi cita-citaku.. terus membara dan membakar azamku.. amin..

hari ini.. terbaca satu petikan akhbar yang menyedihkan.. menyedihkan buat diri ini.. dan mungkin kalian juga.. rasanya ia menyedihkan untuk setiap insan yang kenal hakikat ketinggian jiwa manusia.. kehebatan tugas manusia.. kemurnian tujuan hidup manusia.. kemulian matlamat hidup manusia.. ianya satu yang menyedihkan untuk diri yang menginsafi nilai dunia berbanding nilai akhirat.. ianya sesuatu yang rendah dan menjijikkan bagi diri yang tahu, kenal serta arif akan timbangan neraca dunia berbanding neraca akhirat.. satu perbandingan yang tidak mungkin menang.. perkara yang fana’ tidak akan dapat mengalahkan perkara yang kekal.. ia semudah itu.. senaraikanlah sejuta satu pun keseronokan yang kita dapat daripada kecantikan dan tipu daya dunia ini, tetapi apabila dibandingkan hanya dengan sekadar satu ni’mat Allah di syurga kelak.. balasan Allah untuk orang mu’min nanti.. sungguh tidak terbanding.. yang kekal tetap mengalahkan yang fana’..

berbalik kepada petikan akhbar yang dibaca tadi.. saya akan sertakan petikan akhbar menyedihkan hati ini.. tajuk petikan akhbar ini ialah Usia semuda 12 tahun ketagih seks daripada akhbar Harian Metro Online..

KUALA LUMPUR: Sangat membimbangkan apabila remaja seawal usia 12 tahun ketagih seks dan onani, bertukar-tukar pasangan seks, minum arak, lesbian, hidu gam, meraba, mencuri dan merokok.

Pelbagai krisis sosial yang menakutkan itu dikesan Gerakan Ehsan Selangor (GES) selaku satu daripada penganjur program yang dikhaskan kepada pelajar bermasalah di Selangor sepanjang penganjuran program Kem Smart Remaja sejak enam tahun lalu.

Tidak cukup itu, pertubuhan badan bukan kerajaan berkenaan turut menemui pelajar berusia 14 tahun tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah, membaca surah al-Fatihah dengan betul, mandi wajib dan bersembahyang.

Setiausaha Kehormat GES, Mahezan Baharom Shah, berkata sepanjang GES terbabit dengan program berkenaan, satu rumusan boleh dibuat iaitu remaja yang terbabit dengan gejala sosial datang daripada pelbagai latar belakang keluarga.

“Remaja yang terbabit dengan gejala sosial tidak semestinya datang daripada keluarga miskin, ada juga membabitkan anak orang kaya atau VIP, datang daripada keluarga berpendidikan, ibu bapa orang kuat agama, profesional dan sebagainya,” katanya.

Mahezan berkata, program yang bermula sejak 22 April 2003 itu dan sehingga kini sudah siri ke-11 ‘mengeluarkan’ 621 peserta dari seluruh daerah di Selangor membabitkan 454 lelaki dan 167 perempuan.

Menurutnya, sepanjang pengalaman GES terbabit dalam Kem Smart Remaja, didapati hampir keseluruhan remaja berusia 13 hingga 15 tahun yang mengikuti program itu mengaku merokok sejak seawal darjah enam, selain gemar menyimpan rakaman aksi seks dalam telefon bimbit.

Lebih serius lagi, katanya, ada peserta menyamakan perbuatan mereka dengan ibu bapa seperti minum arak, merokok dan berhibur di kelab malam.

“Apabila ditanya sebab apa mereka terbabit misalnya merokok, dia menjawab, ‘mengapa ibu bapa boleh lakukan, sedangkan saya tidak boleh’.

“Sepanjang enam tahun, pengalaman yang saya lalui bersama rakan sangat menakutkan. Malah, ada yang datang ke sini dalam keadaan ‘tidak betul’, selalu tersenyum, menyendiri dan buat apa yang disukai tanpa memikirkan orang lain dan selepas diselidiki, ia angkara menghidu gam,” katanya.

Mahezan berkata, yang membimbangkan, golongan itu masih muda dan mentah, tetapi arif melakukan aktiviti ‘hard core’ (melampau).

Mahezan, antara orang terawal terbabit dalam program itu, berkata antara masalah lelaki dan perempuan, kedua-duanya hampir sama, tetapi yang mengejutkannya perlakuan seks semakin meningkat.

“Mereka bukan saja suka menyimpan koleksi rakaman seks dalam telefon bimbit tetapi arif mengenainya, malah seawal usia 12 tahun sudah melakukannya dan lebih mengejutkan, ada perempuan bertukar pasangan sehingga 10 lelaki.

“Selain itu, berdasarkan pengakuan mereka, peserta perempuan terbabit dalam aktiviti meraba, mencuri, memeras ugut, bohsia, ketagih onani, ponteng kelas, merokok dan lesbian.

“Sementara lelaki pula, selain terdedah dengan seks, juga terbabit dalam rempit, merokok, hisap ganja, hidu gam, curi motosikal dan gay,” katanya.

Mahezan berkata, perilaku seseorang itu diketahui melalui sesi ‘soal-siasat’ bersama peserta melalui borang yang diedarkan.

“Apabila mereka meluahkan aktiviti sebelum ini melalui borang, kami mendekati untuk mencungkil rahsia dan kemudian memberi semangat serta petunjuk untuk berubah,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pengalamannya, punca atau penyebab kepada masalah dihadapi remaja hari ini ialah masalah keluarga seperti perceraian serta kesibukan ibu bapa sehingga mengabaikan anak, termasuk kurang beri perhatian dan kasih sayang.

“Ada peserta, ibu dan bapanya sibuk bekerja dan dia diberi kemewahan seperti kad kredit, kereta dan pembantu. Dengan kemudahan itu, dia bebas ke mana saja untuk bergembira, termasuk ke disko,” katanya.

Menurutnya, remaja pada usia belasan tahun mudah terpengaruh untuk meneroka perkara baru atau yang menarik minat mereka.

“Perempuan suka berahsia tetapi apabila dia sudah percaya dengan seseorang, hubungan itu lebih rapat dan mesra dan kemudian lelaki ambil kesempatan,” katanya.

Mengenai keberkesanan program berkenaan, Mahezan berkata, secara keseluruhan ada berubah dan lebih mengharukan apabila ibu bapa mengucapkan terima kasih dengan perubahan tingkah laku anak mereka.

“Dulu ada yang tak sembahyang tetapi kini melaksanakannya, lebih hormat orang tua dan mendengar kata. Ada juga tidak mahu berubah tetapi selepas mereka menyertai program ini, kami menjejaki mereka sehingga tamat persekolahan,” katanya.

Sementara itu, Fasilitator, Al Kamarizal Abd Latif, 32, yang juga ahli jawatankuasa pembimbing sejak 2003 mengakui berdepan dengan pelbagai kes ‘unik’.

Katanya, ada kes pelajar berusia 14 tahun ketagih minum arak disebabkan tiada sekatan keluarga, malah di rumah mereka turut disediakan air setan itu dan bar.

“Ibu bapa mereka tidak melarang, bagaimana kita hendak ‘tegur’ pelajar terbabit? Jika ‘bimbingan’ di rumah sudah ada cacat cela, sukar dibetulkan semula,” katanya.

Al Kamarizal berkata, pernah juga dia berdepan kes pelajar ketagih seks dengan sepupu dan kerap melakukannya di rumah mereka sendiri.

“Selepas waktu sekolah, mereka ada masa antara empat hingga lima jam sementara ibu bapa pulang. Masa inilah mereka melakukan perkara tidak elok.

“Jika hal begini timbul, siapa harus disalahkan? Namun, saya akui ada kalanya anak sukar dikawal, ibu bapa harus memerhatikan mereka,” katanya.

inilah wajah sebenar remaja Malaysia hari ini.. mungkin lebih khusus lagi boleh aku katakan sebagai remaja Melayu hari ini.. di manakah masa depan mereka?.. kita sendiri mampu menilainya.. hari ini mungkin kita boleh kata itu mereka, bukan aku.. hari ini kita boleh kata itu kawan dia, bukan kawan aku.. itu adik dia.. itu abang dia.. dan pelbagai lagi hubungan yang mungkin kita cuba untuk tolak dan mengelak.. tetapi kita tidak pernah terfikir.. dengan keadaan yang melarat begini.. tidak mungkin satu hari yang di dalam berita itu ialah kawan kita.. yang berada di hadapan akhbar itu ialah adik kita.. mungkin sekali gambar besar di dada akhbar itu ialah abang kita.. tidak ada jaminan yang menjamin kisah yang paling menyedihkan itu satu hari nanti, wataknya adalah kakak kita.. tidak ada siapa yang mengatakan watak dan setting dalam kisah-kisah ini akan dimalarkan.. semuanya adalah satu kisah yang sama sejak zaman jahiliyah lagi.. cuma wataknya kini bertukar kepada generasi kita.. settingnya sudah tidak lagi zaman dahulu kala.. ini zaman kita.. dan inilah generasi kita.. inilah masyarakat kita.. dan kitalah sebahagian dari masyarakat itu..

inilah virus yang teruk melanda masyarakat kita.. inilah penyakit yang merisaukan dalam nadi negara.. merekalah pemuda yang bakal membangunkan negara kita.. merekalah tunjang saraf negara kita kelak.. dan hari kita melihatkan perlakuan mereka.. apakah kita yakin dengan masa depan negara kita akan semakin pulih atau akan rosak akhirnya?.. satu persoalan yang harus kita fikirkan bersama..

tetapi sebelum itu kita sendiri harus berfikir.. apakah aku juga seperti mereka?.. mungkin tidak pada perkara yang melampau seperti mereka.. tetapi apakah aku punya kualiti yang berbeza daripada mereka.. kualiti yang mampu mengangkat negara?.. kualiti yang mampu membangunkan ummah?.. kualiti yang mampu mengubah masyarakat?.. kualiti yang mampu mendidik anak bangsa?.. atau aku hanya sama seperti mereka.. cuma kali ini mungkin mereka terlebih aksinya.. mungkin suatu hari nanti aku pula di tempat mereka.. na’uzubillahi min zalik..

kita katakan mereka diserang virus merbahaya.. mereka terkena penyakit yang merebak tanpa mampu dikawal manusia.. kemudian kita tanyakan pada diri sendiri apakah aku juga berpenyakit.. dan kita menjawab.. oh, tidak.. diri ini sahaja yang menjawab.. kalian mungkin tidak.. diri ini sememangnya berpenyakit juga.. tidak pernah aku katakan aku ini insan sempurna.. datang ke bumi menyelamatkan manusia.. lagaknya seperti insan yang pernah pergi ke syurga.. tinggal di sana.. lalu kembali ke bumi menyedarkan manusia.. huh!.. jauh sekali.. aku juga seperti kalian.. insan yang sama-sama di atas jalan.. menuju ke arah Tuhan.. sama-sama ingin meraih kemenangan.. kemenangan atas kata nama kemenangan yang hakiki.. kemenangan di sisi Ilahi Rabbi.. cuma aku tidak mahu mereka ketinggalan.. dan aku juga tidak ingin kelak generasi selepas ku hanya ada di belakang.. malah lebih teruk lagi mereka sudah tidak bergerak ke hadapan.. semuanya tertipu dan terleka dengan dunia beserta keindahan dalam kerendahan.. lalu menuju ke dalam pusat kerendahan yang membawa kehancuran.. bergerak kebelakang yang pada mereka itulah di hadapan.. tidak lagi sama-sama berlari ke satu arah yang suci.. menuju ke tempat tinggi.. meraih cinta Ilahi.. mencari redha Ilahi Rabbi.. sama-sama mengimpikan kediaman di Syurga Firdausi.. aku takut.. dan aku risau.. walaupun pada masa yang sama aku tahu ini tugas yang besar.. dan ada sebab itu jugalah.. aku perlukan kalian bersama aku pada setiap langkah di atas jalan ini.. apakah kalian bersamaku?..

aku mungkin masih berpenyakit.. tetapi aku sedar aku ini sakit.. namun mereka itu, aku tahu mereka sangat sakit tetapi sayangnya mereka tidak sedar mereka sedang sakit.. di sinilah aku terbayang satu tugas mulia ini sebagai satu tugas yang sangat-sangat besar.. bukan hanya aku, dalam satu waktu, aku ingin mengubat diriku.. malah dalam waktu itu juga, aku sebagai diriku, ingin menyedarkan mereka bahawa mereka itu sedang sakit hanya menunggu waktu.. aku juga sebagai diriku yang kalian tahu, ingin sama-sama untuk memperbaiki dan membersihkan segala macam jenis virus dan penyakit dalam diriku dan diri mereka yang ingin bersama-sama dengan ku.. tidak pernah aku katakan aku sempurna malah jauh sekali aku dari mereka yang sihat belaka.. aku turut punya penyakit ku, yang saban hari aku berperang dengannya.. namun aku tidak sanggup meninggalkan mereka terkapai-kapai dalam kegelapan dunia baru.. yang mungkin telah mengejutkan perasaan dan semangat jiwa muda dan baru.. maka dengan itu.. aku hari ini ingin memperbaiki diriku dan mengajak yang lain turut bersamaku..

namun aku katakan dari awal.. moga kalian tidak berlari hanya separuh jalan.. moga kelak di masa hadapan, kalian tidak sekadar berjalan setelah penat berlarian.. aku katakan pada kalian.. ini satu jalan panjang.. dan jalan ini tiada jalan pintasan.. jalan ini bukan yang seperti perarakan perayaan.. jalan ini tiada ditabur bunga di atas jalan.. jalan ini penuh onak duri dan halangan.. jalan ini bukan untuk orang manja dan kalah dengan perasaan.. kerana akhirnya penuh dengan keni’matan.. hujungnya ada ganjaran yang tidak terbayang oleh insan.. tidak pernah ada hati yang membayangkan.. tidak ada telinga mendengarnya.. tidak juga ada mata pernah melihatnya.. di sana adalah segala kesempurnaan.. tiada lagi kutukan dan cacian.. kerana semua dalam kepuasan.. meni’mati perkara yang berkekalan.. yang mana ia berkekalan dalam keadaan yang sangat menyenangkan..

oleh itu, sekali lagi aku ingatkan.. sebagaimana pada mulanya tadi aku telah katakan.. yang mana ini sebenarnya adalah kata-kata Ibnu Mubarak.. yang menggambarkan hakikat kefahamannya tentang nilaian dunia berbanding akhirat.. iaitu.. kata-katanya.. yang fana’ tetap tidak akan mengalahkan yang kekal.. melihat kefahaman sebegini.. tidak hairanlah lagi bagi diriku.. mengapa Abu Bakar sanggup menginfakkan segalanya dan yang tinggal hanya Allah dan RasulNya.. tidak ganjillah lagi bagi diriku mengapa Rasulullah yang dilahirkan dalam keluarga mulia sanggup bersusah payah semata-mata untuk sesuatu yang bukan untuk dirinya.. tidak ajaiblah lagi bagi diriku mengapa sahabat semua sanggup meletakkan dada-dada mereka sebagai perisai yang menghadang tombak-tombak yang menghujan ke arah baginda.. tidak peliklah lagi untukku apabila dikisahkan mereka terdahulu diseksa dengan seksaan yang bukan dalam bayanganku.. malah ngeri untuk berada walau sejenak di dalam benak fikiranku.. tetapi itulah yang mereka lalui.. dan sememangnya masuk akal dan tidak mustahil akan seluruh kisah yang telah diceritakan padaku.. kerana di sana aku tahu.. ke manakah akhirnya mereka ingin tuju.. pengakhiran yang setinggi-tingginya.. pencapaian yang seagung-agungnya..

dan hari ini kita telah mengetahui di mana pengakhiran mereka.. melalui perantaraan Rasul yang kita cintai.. dan hari ini aku tanyakan pada diriku.. dan untuk kalian, andai kata kalian ingin bersamaku, maka tanyakanlah juga pada diri kalian bersama.. apakah harga yang mereka bayar untuk pengakhiran yang sedemikian rupa?.. apakah yang mereka lalui untuk capai apa yang sekarang milik mereka?.. di manakah letaknya senang lenang dalam hidup mereka?.. dan kemudian aku teruskan persoalan dengan.. di mana aku dalam plot cerita seperti mereka?..

dan hari ini.. aku sedang meluahkan rasa hatiku.. dan aku pasti kalian juga ada yang terasa sebegitu.. maka aku katakan sekali lagi.. tiadalah aku hadir dalam keadaan seperti malaikat putih berseri yang suci dari kehinaan serta kerendahan.. dan tidak juga aku datang ke mari dengan diri yang tinggi lagaknya seperti manusia yang hadir dari syurga firdausi ingin mengajak manusia terbang tinggi.. tetapi aku hanya insan biasa seperti kalian.. malah mungkin sekali di bawah kalian dalam segala apa jua segi sekali pun.. tetapi aku pasti.. matlamat aku.. dan matlamat kalian tetap satu.. matlamat kita tetap sama.. maka dengan itu.. aku akan sedaya-upaya memperbaiki diriku.. dan aku tidak mahu mereka ditinggalkan terus begitu.. oleh itu, maka sedaya-upaya ku akan cuba menggarab seramai mana yang aku mampu.. dan kalian juga tahu.. andai kata hanya aku.. pasti tidak semua mereka akan sama-sama menuju ke arah seperti yang kita mahu.. oleh itu.. aku perlukan kalian bersamaku.. dan aku tidak katakan aku perlukan kalian dibelakang ku.. tetapi aku perlukan kalian bersamaku.. sama-sama seiring menuju Rabb ku.. dan Rabb kalian.. Rabbi wa Rabbuk..

dan.. apakah kalian bersamaku?..

Advertisements
2 comments
  1. wardatudDeen said:

    selagi jalan yang dituju masih ke akhirat.. insyaAllah, sekalian pengemudi bahtera dakwah ini sentiasa kan bersama.. selamanya.. amin..

  2. hawa said:

    bila kita lihat Malaysia dari jauh, baru kita tahu bagaimana keadaan sebenarnya. betul, selagi matlamat yang satu tetap satu, kita semua (mu’min) akan bergerak bersama.

    nice entry!!

    syukran

    hawa
    USA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: