Selamatkan Gaza!

– diambil daripada laman web ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia) dalam artikel SELAMATKAN GAZA! (Khutbah Jumaat)

الْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ وَالْعَاقِبَةُ لِلْمُتَّقِيْنَ وَلا عُدْوَانَ غلاَّ عَلَى الظَّالِمِيْنَ, أشْهَدُ أنْ لاَ إلهَ إلاّ اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ، وَأشْهَدُ أَنَّ محمدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. أللهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلى سَيِّدِنَا محمدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.

أمَّا بَعْدُ، فيَا عِبَادَ اللهِ، أُوْصِيْكُمْ وَإيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Dunia hanya memandang sepi apa yang berlaku di bumi Palestin hari ini. Tiada tindakan komprehensif untuk menghentikan segala kekejaman dan kedurjanaan yang berlaku. Tiada siapa yang diharapkan oleh umat Islam di sana kecuali mereka bangun sendiri menentang kezaliman dengan apa yang ada pada mereka sendiri.
Sesunguhnya bumi Palestin yang terdapat di dalamnya qiblat pertama umat Islam, adalah watan yang perlu dipertahankan oleh umat Islam seluruh dunia. Apatah lagi Masjid al-Aqsa yang merupakan persinggahan Rasulullah s.a.w. sebelum dimi’rajkan ke langit sekarang ini terancam dengan apa yang dilakukan oleh kaum terhadap masjid yang mulia ini.

Firman Allah:

سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلاً۬ مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُ ۥ لِنُرِيَهُ ۥ مِنۡ ءَايَـٰتِنَآ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ

Maksudnya:

“Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya untuk Kami perlihatkan kepadanya ayat-ayat (tanda-tanda) kebesaran Kami, sesungguhnya Dialah Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

(Surah al-Isra’ [17]: 1)

Sidang Jumaat rahimahullah,
Dengan jatuhnya Empayar Uthmaniah Turki pada tahun 1924M, bumi Islam telah berpecah dan difaraidhkan kepada dunia barat termasuk bumi Palestin. Palestin yang dianggap sebagai Bandar yang dipenuhi dengan pelbagai tamadun manusia yang gemilang satu masa dahulu, kini dirampas oleh rejim Zionis melalui perancangan dan tipu muslihat yang teliti, bermula dengan perjanjian balfour pada tahun 1917. Dari situlah umat Islam ditindas dan dihalau di tanah milik mereka sendiri sehingga akhir kini 80% rakyat Palestin menjadi pelarian yang menghuni khemah-khemah pelarian tanpa prasana yang diperlukan sebagai seorang manusia yang merdeka.

Umat Islam Palestin merintih, menangis meminta pembelaan dari saudara seakidah sebagaimana mereka pernah merintih dan menangis apabila tentera Salib menakluki Baitul Maqdis pada 4 Julai 1099 sehingga menyebabkan 70.000 muslimin dibunuh dengan kejam tanpa belas kasihan.

Kesepakatan musuh-musuh Islam untuk memerangi Islam dan umatnya berpanjangan dan sentiasa berusaha memastikan Deenul Islam yang hanif ini lenyap di muka bumi ini bersama umatnya.

Sidang Jumaat sekelian,
Bumi Palestin adalah bumi para Anbiya’ kerana ramainya para nabi yang lahir di sana, sebagaimana bumi ini juga telah menyaksikan penukaran tongkat kepimpinan dunia daripada Anbiya’ terdahulu kepada Nabi Muhammad s.a.w. apabila Baginda mengimami mereka bersolat di sana pada malam Isra’ dan mi’raj. Kita perlu merasa bangga kerana peristiwa tersebut menggambarkan kedudukan umat Islam adalah lebih mulia daripada umat-umat lain terutamanya Bani Israil yang sering melakukan tipu daya terhadap Allah dan para utusanNya.

Namun kini umat Islam seolah-olah sudah lupa hakikat ini dengan membiarkan kaum yang suka membunuh, mengingkari janji, menindas dan melakukan perubahan terhadap kitab Taurat dan Injil menguasai dunia dan menyebarkan tamadun yang menyesatkan manusia.

Umat Islam hari ini memerlukan jiwa seperti Saiyidina Umar al-Khattab yang berjaya membuka Baitul Maqdis dan mengisytiharkannya sebagai tanah wakaf umat Islam pada tahun 636M. Jiwa umat Islam perlu dibangunkan seperti jiwa Salahuddin al-Ayyubi yang membebaskan Baitul Maqdis daripada tentera Salib pada 2 Oktober 1187. Jiwa umat Islam seluruh dunia wajib disedarkan sekarang ini, sebagaimana sedarnya jiwa-jiwa umat Islam Palestin untuk membebaskan Baitul Maqdis apabila Intifadhah bermula pada 8 Disember 1987. Jiwa umat Islam perlu dimerdekakan daripada perhambaan kepada hamba, kepada perhambaan hanya kepada Allah Yang Tunggal lagi Maha Perkasa.

Sidang Jumaat rahimahullah,
Pencerobohan demi pencerobohan terhadap bumi yang terdapat padanya rumah ibadat yang kedua dibina selepas Masjidil Haram di Makkah. Apa yang sedang berlaku di Gaza kini merupakan di antara siri-siri keganasan yang dirakam dan diperlihatkan kepada seluruh dunia betapa kejam dan zalimnya rejim Zionis -la’natullahi `alaihim- ini.

Gaza hari ini dianggap sebagai penjara besar yang dihuni oleh seramai 1.5 juta jiwa, lebih 95% adalah muslim. Daripada jumlah ini seramai 800 ribu orang merupakan pelarian daripada kawasan-kawasan Palestin lain yang telah dijajah. Pelbagai kesengsaraan telah sengaja diwujudkan di dalamnya; kegelapan, kekurangan ubat-ubatan, bilik pembedahan tidak berfungsi, harga barangan meningkat tiga kali ganda, ketiadaan peluang pekerjaan, ladang-ladang dimusnahkan dan saban hari mereka dihiburkan dengan bunyian jet-jet penyerang, ledakan mortar, kereta kebal, serta suara tangisan mangsa dan juga keluarga mereka.

Sesungguhnya pengganas Yahudi tidak pernah mengenal mangsa, sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, lelaki, wanita, yang sempurna anggotanya maupun yang cacat. Malah al-Quran dan juga sejarah telah mencatatkan, bagaimana mereka sanggup membunuh para Anbiya’ daripada kalangan Bani Israel sendiri. Inilah apa yang telah berlaku ke atas Nabi Zakaria dan Nabi Yahya. Mereka juga telah menganggap bahawa merekalah yang telah membunuh Sayyidina Isa a.s. Walau bagaimana pun perkara ini telah dinafikan sendiri oleh al-Quran melalui firman Allah s.w.t.

وَقَوۡلِهِمۡ إِنَّا قَتَلۡنَا ٱلۡمَسِيحَ عِيسَى ٱبۡنَ مَرۡيَمَ رَسُولَ ٱللَّهِ وَمَا قَتَلُوهُ وَمَا صَلَبُوهُ وَلَـٰكِن شُبِّهَ لَهُمۡ‌ۚ

Maksudnya:

“Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: Sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasulullah. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya , tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa)…”

(Surah al-Nisa’ [4]:157)

Pengepungan ke atas Gaza terbaru ini sememangnya sudah dijangka kerana kaum Zionis tidak mahu di sana terdapatnya mana-mana pihak yang memberi ancaman atau menghalang mereka bagi menjayakan impian mereka selama ini, iaitu ingin menegakkan Negara Israel Raya atau The Greatest Israel atau Israel Kubro. Semasa kegemilangan Islam, ketika khalifah adil memerintah, jika seinci bumi Islam diceroboh, maka akan dihantar bala tentera Islam untuk mempertahankan dan merampas kembali.namun kini semuanya hanya tinggal kenangan. Walau bagaimanapun nostalgia kegemilangan ini perlu dibangkitkan dan disegarkan semula agar seluruh umat Islam menyedari bahawa kekuatan sedemikian perlu diwujudkan kembali agar kezaliman yang dialami umat Islam mendapat pembelaan yang secukupnya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Peranan yang mungkin kita dapat laksanakan bagi menyatakan kebersamaan kita dengan umat Islam Palestin dan juga perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa adalah berlegar sekitar tiga paksi penting, iaitu; Paksi Pengetahuan (المحور المعرفي), Paksi Maknawi / Jiwa (المحور المعنوي) dan Paksi Amali(المحور العملي) :

PAKSI PENGETAHUAN

1. Kita perlu mengetahui punca berlakunya isu di atas menurut sejarah, sama ada sejarah dahulu maupun sekarang, termasuk juga mengetahui latar belakang bumi Palestin dari sudut agama ataupun kebudayaan.

2. Kita perlu mengetahui hakikat pertembungan terhadap Yahudi. Sesungguhnya kebencian dan permusuhan kita terhadap mereka bukannya bertitik tolak daripada perasaan benci, dengki atau dendam, tetapi ia adalah bertitik tolak daripada tindak balas terhadap permusuhan yang mereka lakukan dan juga usaha untuk mengembalikan hak umat Islam yang dirampas.

3. Kita perlu mengetahui bahawa isu ini berkaitan dengan semua orang Islam dan juga arab serta perlunya menolak segala salah faham yang berkaitan dengannya.

4. Kita perlu mengetahui dan memperbetulkan penggunaan istilah yang terpesong daripada maksud sebenar, yang cuba dimainkan oleh media musuh. Antaranya; istilah pengganas telah mereka gunakan bagi merujuk kepada umat Islam yang berjuang menentang penjajah di Palestin, begitu juga istilah operasi berani mati atau operasi bunuh diri telah diperkenalkan kepada dunia bagi menggantikan istilah sebenar dalam Islam iaitu operasi syahid.

5. Kita perlu mengenal pasti bahawa apa yang berlaku ada hujung pangkalnya, iaitu ketidak pedulian orang Islam dan arab daripada persoalan akhlak, nilai dan syariah di kalangan mereka. Perkara ini mengatasi kekuatan tentera yang ada pada Zionis.

6. Memerangi fahaman yang negatif dan logika menyerah tanpa berusaha (mantiq tawaakuli), yang menyebabkan seseorang merasa berpuas hati, mundur ke belakang, hanya mengucap لا حول ولا قوة إلا بالله (tiada daya dan upaya melainkan milik Allah) dan berdoa, tanpa menunaikan kewajipan-kewajipan yang mereka mampu melaksanakannya.

7. Menyatakan bahawa jihad mempunyai pelbagai cara, tanpa wujud sebarang pengurangan pahala atau kesannya dibandingkan dengan jihad bersenjata, seperti jihad dengan harta benda, jihad dengan ucapan, memboikot ekonomi musuh dan juga sokongan moral. Sesungguhnya setiap jiwa daripada kalangan umat ini baginya ada peranan dalam kontaks ini. Tidak ada seorang pun mempunyai alasan untuk berundur, merasa lemah maupun bertangguh. Skop jihad seperti ini membolehkan setiap sektor menentukan peranan mereka tersendiri dalam menjayakan risalah dakwah ini.

PAKSI MAKNAWI (JIWA)

1. Mengekang perasaan kecewa serta putus asa yang kadang-kadang telah menyelinap masuk ke jiwa-jiwa masyarakat umum, dengan merangsangkan harapan yang kuat dalam jiwa mereka dan kebergantungan mereka dengan Allah s.w.t. serta beriman bahawa adanya di sana perhitungan dan kayu ukur yang lain bagi mencapai kemenangan selain daripada perhitungan dan kayu ukur biasa dalam bentuk zahir.

2. Menghidupkan perasaan dan sensitiviti terhadap apa yang sedang berlaku di sana, sama ada pencabulan tempat-tempat suci umat Islam, pembunuhan atau pencabulan ke atas kehormatan anak-anak gadis mereka.

3. Menghidupkan ruh jihad dalam jiwa ummah dan memerangi penyakit al-wahn yang diterjemahkan sebagai cintakan dunia serta takutkan mati. Di sinilah lahirnya kepentingan `tarbiyyah’ sama ada untuk individu maupun masyarakat.

4. Perlunya `nafas panjang’ tanpa gelojoh. Apa yang telah berlaku dan sedang berlaku merupakan hasil kesinambungan kerja yang dilakukan dalam tempoh yang panjang. Oleh itu `jalan pengislahan’ juga memerlukan tempoh.

PAKSI AMALI

1. Menyokong seruan pemboikotan ekonomi ke atas barangan musuh (zionis) dan juga pendokong mereka. Ini merupakan seruan yang telah dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi sejak beberapa tahun lepas.

2. Menghulurkan derma dalam apa jua bentuk sekalipun untuk umat Islam Palestin melalui pintu-pintu resmi atau badan-badan NGO yang sedia ada dan diyakini.

3. Mengadakan pameran-pemeran mengenai apa yang berlaku di bumi Palestin, di masjid-masjid, surau-surau, dewan-dewan serbaguna atau sebagainya.

4. Tidak mengabaikan golongan bukan Islam dalam membicarakan dan melibatkan diri dalam isu ini, di atas asas persefahaman bersama dan menyerlahkan dimensi kemanusiaan. Persefahaman ini adalah bertitik tolak daripada kefahaman yang benar, adil dan berdasarkan kemanusiaan.

Sidang Jumaat rahimahullah,
Jika sekiranya bangsa Yahudi dimotivasikan oleh kitab Talmud mereka, umat Islam semestinya dimotivasikan dan dibangunkan jiwa mereka dengan kitab suci al-Quran. Itulah cara dan jalan terbaik bagi memastikan umat Islam terbela dan mendapat haknya serta tidak lagi diperkotak katikkan oleh musuh-musuh Islam. Sesungguhnya kemenangan Islam itu memang pasti akan berlaku, maka beruntunglah bagi mereka yang berusaha untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam yang pernah dikecapi sebelum ini.

Ya Allah! hamba-hambaMu ini menadah tangan memohon pertolongan kepadaMu Yang Amat Pengasih terhadap para hambaNya. Selamatkanlah Masjid al-Aqsa daripada terus dicerobohi dan dimusnahkan oleh Yahudi bangsa yang dilaknat olehmu itu.

Ya Allah!, selamatkanlah kiblat pertama umat Islam dan tempat Isra’ RasulMu ini dari pada terus dijajah dan dikuasai oleh bangsa yang jelas melakukan kerosakan di atas muka bumi ini.

Allaahumma ya Aziz ya Muntaqim!, satukanlah hati-hati umat Islam dengan ikatan yang satu, demi mempertahankan tanah suci Baitul Maqdis. Berikanlah kepada kami kemenangan yang hakiki dan seterusnya memperoleh kejayaan abadi di Akhirat nanti. Lembutkanlah hati- hati kami untuk sentiasa menghulurkan pertolongan dan bantuan kepada saudara kami di Palestin dan jadikanlah kehidupan kami sebagai secebis perjuangan untuk membebaskan bumi yang tercinta Palestin.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم 

لُعِنَ ٱلَّذِينَ ڪَفَرُواْ مِنۢ بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُ ۥدَ وَعِيسَى ٱبۡنِ مَرۡيَمَ‌ۚ ذَٲلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّڪَانُواْ يَعۡتَدُونَ

Maksudnya:

“Telah dilaknat orang-orang yang telah kafir dari Bani Israil melalui lidah Dawud dan Isa bin Maryam, demikian itu disebabkan perbuatan mereka yang ingkar dan sesungguhnya mereka itu orang-orang yang melampau.”

(Surah al-Maidah [5]:78)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ, وَنَفَعَنِيْ وَإيَّاكُمْ بِالآيَاتِ والذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلْ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ.
أَقُوْلُ قَوْلَ هذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِجَمِيْعِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

– diambil daripada laman web ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia) dalam artikel SELAMATKAN GAZA! (Khutbah Jumaat)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s