Kemaafaan yang terpahat pada batu..

Berapa banyak kali kita marah dan tersinggung dengan orang lain, kadang kala atas perkara-perkara kecil yang dilakukan mereka? Berapa banyak kali kita diam tidak berkata apa apabila mereka melakukan perkara yang kita tidak suka? Berapa banyak kali pula kita insaf pada diri kita, berapa banyak kali kita marahkan diri kita, bila kita pula melakukan kejahatan yang kadang kala lebih teruk dari yang dilakukannya?

Para ‘arifin menceritakan kisah dua orang saudara yang mengembara di padang pasir. Hanya bekalan makanan beberapa ketul roti yang belum dibakar sahaja yang dibawa. Hasrat keduanya untuk berkhalwat – menyendiri – dari kelompok besar manusia yang lainnya demi mendapatkan keredhaan Ilahi.

Sesudah beberapa hari bermusafir di bawah teduhan awan nipis yang tidak dapat menghalang bahang matahari, padang pasir yang mendungukan akal dan fikiran benar-benar menguji kesabaran dan mujahadah hamba-hamba Allah sebagaimana hidup riuh rendah di kota besar juga mempunyai pelbagai ujiannya.

Sahabat A menyuruh sahabat B membakar seketul roti untuk dimakan oleh keduanya sambil ia pergi mencari air buat mengambil wudhu. Sahabat A berpenat lelah ke sana ke mari sebelum ia mendapati sebuah wadi. Kemudian terpaksa pula ia berhempas pulas menggendong air buat kawannya si B.

Alangkah terbakar hatinya melihat kawannya si B terlelap di sisi unggun api, sedang roti yang dibakarnya telah hangus menjadi abu. Sahabat A menggoncang-goncangkan badan si B dan sebaik sahaja sahabat B tersedar, si A segera menghantar satu pukulan keras ke kepala si B. Terkejut sahabat B.

Kata si A, “Wahai, aku berhempas pulas mencari air, sedang engkau senang-senang sahaja tidur dan membiarkan roti kita menjadi abu?”

Melihat muka si A yang merah padam, si B diam tidak berkata apa-apa. Dia bangun mengambil roti yang telah menjadi abu itu dan menggores diatas pasir, “Di sini sahabatku A menempelengku kerana kesilapan aku terlelap di tepi roti kami yang sedang dibakar.” Si A memerhatikan sahaja tingkahlaku si B.

Beberapa hari kemudiannya, tiba pula giliran si A untuk membakar roti manakala si B pergi mencari air. Ke sana ke mari ia mencari air tidak berjumpa. Dalam fikirannya terkenang kemarahan si A beberapa yang sudah. Dia jadi risau kalau-kalau si A marah lagi sekali. Si B berdoa sungguh-sungguh supaya Allah menunjukkan kepadanya sumber air. Doanya tidak sia-sia. Ia tidak menemui wadi tetapi sebuah perigi lama yang ditinggalkan orang. Cuma malang, kerana ia tidak mempunyai tali, hanya sedikit sahaja air yang dapat diceduknya.

Si B pulang menemui si A. Ia sedikit bimbang bahawa si A tentu akan memarahinya lagi. “Sahabatku A, sudah berpenat lelah aku mencari air. Cuma sebanyak ini yang dapat aku cari. Kerana air ini cuma sedikit, maka engkau minumlah dan berwudhu’lah dahulu. Aku akan pergi mendapatkan bahagian aku setelah engkau memenuhi keperluan engkau.”

Sahabat A melihat muka sahabat B yang berpeluh-peluh dan keletihan itu. Dia jadi kasihan. Lalu ia berkata, “Sahabatku B, air ini sedikit maka marilah kita kongsi sahaja bersama-sama. Aku ambil separuh dan engkau ambillah separuh yang lain.”

“Jadi engkau tidak marahkan aku?” kata si B.

“Tidak. Aku tahu engkau telah berusaha sekuat hatimu. Aku memaafkan kesilapanmu kali ini.”

Si B sekejap itu juga mengambil pisau dan melakar di atas batu, “Sahabatku A disini memaafkan kesilapan aku.”

Melihatkan perilaku si B, sahabat A jadi kehairanan. DIa pun bertanya, “Wahai B, hari yang lepas aku lihat kau melakar di atas pasir. Kali ini engkau melakar di atas batu pula?”

Sahabat B menjawab, “Hari itu engkau memarahiku, lalu aku melakar di atas pasir supaya apabila angin datang pasir itu akan terkambus, sebagaimana aku mengharapkan kesan dari api marahmu itu tidak kekal terlakar dalam hatiku. Hari ini aku melakar di atas batu, supaya kemuliaan hatimu untuk memaafkan aku akan kekal dalam hatiku sebagaimana lakaran aku ini tidak akan hilang walaupun ditiup oleh angin. Aku hanya ingin mengingati kemaafanmu, dan aku ingin melupakan kekasaranmu.”

Para ‘arifin berkata, jadikanlah cerita ini pengajaran dan kotakanlah janji sebuah persaudaraan.

1 comment
  1. FaisaL said:

    kepada semuanya..
    yang mana di “sana” kelak..
    mempunyai haq untuk berkata..
    diri ini tidak mahu nama disebut..
    kerana kebathilan dan kesalahan..
    namun sebutlah nama ini..
    kerana kebaikan dan kebajikan..

    kepada semuanya..
    yang mana suatu hari pasti pergi..
    diri ini takut tidak sempat mengucap kata maaf..
    diri ini bimbang tidak dapat melakar kemafaan di batu..
    hari ini..
    ingin dipinta kemafaan daripada semuanya..
    sama ada yang telah lepas..
    atau yang akan datang..
    sama ada yang disedari..
    mahupun yang tidak disengajakan..
    maafkan diri ini..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: