Antara berusaha dan tawakkal..

Iman adalah merupakan mahkota di dalam diri manusia, yang tersangat indah, yang hanya dapat dirasai oleh orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Tawakkal pula merupakan salah satu cabang dari cabang-cabang keimanan. Ada di kalangan kita yang menganggap bahawa tawakkal adalah menyerahkan segala-galanya kepada Allah tanpa berusaha. Bahawa tawakkal bermaksud menyerahkan segalanya kepada taqdir Allah seperti kapas yang berterbangan di udara ditiup oleh angin.

Sebenarnya tawakkal bermaksud bekerja dan mengusahakan sesuatu pekerjaan dengan sebaik kemampuan kita, kemudian itu menyerahkan hasilnya kepada Allah. Itulah tawakkal. Kita yakin bahawa tidak ada mudharat atau manfaat, tidak ada pemberi dan penahan melainkan Allah Taala. Jika kita ditimpa kesusahan dan kecelakaan, kita tidak akan merasa takut. Tidak akan bergoncang keimanan kita. Malah segala urusan kita, yang penting atau tidak, semuanya dikembalikan kepada Allah semata-mata. Inilah konsep Tawakkal!

Marilah sama-sama kita dengar firman Allah dalam surah At-Taubah, ayat 51 yang berbunyi:

“Katakanlah wahai Muhammad bahawa tidak sekali-kali kami ditimpa musibah kecuali apa yang telah Allah tetapkan atas kami, Dialah (Allah) Tuhan kami. Dan ke atas Allah jualah hendaknya orang-orang beriman bertawakkal.”

Inilah ciri-ciri orang yang bertawakkal. Pertama, dia berusaha bersungguh-sungguh melakukan sesuatu pekerjaan, dengan sebaik yang dapat diberikan. Kemudian dia menyerahkan hasil usahanya kepada Allah. Jika baik natijahnya, maka ia adalah dari Allah. Jika sebaliknya maka ia sudah ditetapkan oleh Allah juga. Maka dengan ini dia menyematkan dalam dirinya sifat bertawakkal kepada Allah.

Konsep tawakkal ini jelas diterangkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sebuah kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. Ada seorang pemuda yang datang berjumpa dengan Rasulullah. Dia meningglkan untanya di luar masjid tanpa mengikatnya terlebih dahulu. Rasullullah s.a.w. kemudian memanggilnya dan bersabda dalam hadithnya yang masyhur:

“Hendaklah engkau mengikatnya, kemudian bertawakallah.”

Terdapat di kalangan masyarakat kita yang mempunyai salah tanggap terhadap konsep tawakkal ini. Mereka berpendapat bahawa tidak perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki kerana rezeki setiap seorang telah ditetapkan oleh Allah. Jadi kalau rezeki seseorang itu sedikit, maka itulah ketetapan dari Allah. Tidak perlu berusaha lebih gigih lagi. Sehinggakan ada pepatah Melayu yang berbunyi: Ulat dibawah batu pun ada rezekinya. Dari pepatah ini, sebahagian masyarakat kita menjadikannya semacam budaya untuk tidak berusaha sungguh-sungguh kerana Allah akan memberi kita rezeki. Kalau sedikit rezeki tersebut maka dia akan merasa cukup. Dan mereka berpegang kepada pepatah Melayu yang lain iaitu: Kais pagi makan pagi. Dari pepatah ini, ada segolongan masyarakat kita yang tidak mahu merancang jangka panjang bagi kehidupan mereka dan mata pencarian mereka. Apa yang mereka dapat pada hari itu, tidak perlu mereka fikirkan masa hadapan.

Sebenarnya, saudara-saudara sekelian, pendapat ini salah dan bertentangan dengan ugama Islam. Islam menyuruh umatnya berusaha. Berusaha bukan sahaja untuk dunia ini tetapi yang lebih penting juga untuk akhirat. Dengarlah firman Allah ini dalam surah An-Najm, ayat 39 hingga 41:

“Dan bahawasanya manusia tiada memperoleh sesuatu melainkan apa yang dia usahakan, dan segala usahanya itu kelak akan diperlihatkan, kemudian dia akan dibalas dengan balasan yang sempurna.”

Lihatlah bagaimana Allah menentukan segala hasil yang diraih oleh manusia bergantung kepada usahanya. Jika usahanya gigih, maka baik lah hasil yang diperolehinya. Jika usahanya malas dan kurang, maka kurang lah hasil yang diraihnya. Setiap sesuatu Allah telah tetapkan kadarnya, bergantung kepada usaha kita. Orang yang berpegang kepada konsep yang salah seperti yang tersebut di pepatah: ulat dibawah batupun ada makanannya, orang ini berpegang kepada konsep yang bertentangan dengan Islam.

Kita mesti berusaha dan terus berusaha untuk meningkatkan lagi taraf kehidupan kita samada kehidupan dunia atau akhirat. Kalau kehidupan di dunia, kita berusaha untuk menjadi lebih berjaya dan mampu untuk bersaing dengan orang lain dari sudut ekonomi dan lain-lain bidang. Kalau kehidupan di akhirat, kita mesti berusaha agar kita berjaya diterima masuk Syurga dan darjat kita di Syurga lebih tinggi lagi.

Untuk berjaya di dunia, kita tidak boleh berpeluk tubuh sahaja. Kita perlu merancang. Kita perlu menambahkan lagi ilmu kita, terutama dalam dunia zaman sekarang ini yang amat bergantung kepada tahap ilmu dan kemahiran kita. Pekerjaan sekarang lebih mengutamakan akal fikiran dan ilmu dari kekuatan jasmani dan kemampuan fizikal. Orang yang bergantung kepada kekuatan fizikal bagi pekerjaannya akan lebih rendah teraf dari orang yang bergantung kepada ilmu dan akalnya dalam pekerjaannya. Maka kita perlu merancang. Kita tidak boleh berkata: “Aku bertawakkal kepada Allah. Kalau ada rezeki, adalah. Kalau kurang rezeki, takpelah.” Ini salah! Kita tingkatkan kehidupan kita dengan terus menambah ilmu. Bekerja bersungguh-sungguh sahaja tidak mencukupi sekarang. Tetapi yang lebih diperlukan adalah bekerja dengan lebih baik dan kreatif. Dan ini memerlukan ilmu pengetahuan.

Dan Islam tidak melarang kita dari merancang untuk dunia ini. Rasulullah pernah menggambarkan bagaimana seseorang perlu merancang jangka panjang untuk kehidupannya di dunia ini. Beliau membawa contoh bahawa walaupun Kiamat terjadi, jika di tangan seseorang kita masih ada sebuah sebiji tamar untuk ditanam, maka kalau dia boleh menanamnya, hendaklah ditanamnya juga. Begitu perihatin sekali Rasulullah agar umatnya merancang untuk masa hadapan. Tetapi sebahagian dari kita tidak mahu merancang masa hadapan kita.

Dan yang lebih sedih lagi, mereka tidak merancang untuk akhirat mereka. Mereka tidak berusaha untuk meningkatkan amalan mereka saban tahun. Tahun demi tahun amalan mereka sama sahaja, atau lebih buruk lagi, semakin mengurang. Orang seperti ini akan rugi kedua-duanya, rugi dunia dan rugi akhirat. Di dunia dia hidup miskin dan hina, di akhriat juga dia tidak mendapat apa-apa. Semoga kita terlindung dari menjadi seperti orang-orang seperti ini.

Bagaimana kita merancang dan berusaha untuk akhirat? Jawapannya adalah satu. Dengan ilmu. Kerana Rasulullah s.a.w bersabda:

“Barangsiapa yang inginkan dunia maka dia perlu ada ilmu. Dan barangsiapa yang inginkan akhriat maka dia perlu ilmu juga. Dan barangsiapa yang inginkan kedua-duanya maka dia perlu ada ilmu juga.”

Ilmu akan memberikan seseorang kemampuan untuk merancang. Ilmu akan memberikan seseorang untuk melakukan sesuatu amalan dengan khusyuk dan penuh ikhlas. Ilmu akan menjamin seseorang melakukan ibadatnya dengan betul dan diterima Allah. Ilmu juga akan dapat mendorang seseorang agar terus berusaha dan merancang. Maka carilah ilmu. Hargailah ilmu. Nilai ilmu tidak terhingga. Ilmu adalah pemberian berharga dari Allah kepada kita, lebih dari wang ringgit dan harta dunia. Inilah kuncinya. Ilmu. Dialah yang akan dapat membetulkan persepi yang salah terhadap konsep tawakkal itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: