Terang sinar mutiara hikmah..

– dipetik dari blog Renungan2u di dalam page al-fawaid –

Mutiara-mutiara hikmah

Muqaddimah

Hidup ini hanyalah satu perjalanan; bermula di alam ruh, memasuki alam rahim ibu, singgah di alam dunia untuk mencari bekal menuju alam barzakh, alam mahsyar, diadili, melalui as-siratul mustaqim dan penghujungnya sama ada syurga dan gembira dapat bertemu Allah atau penyesalan akibat dihumbankan keneraka.

Jalan kepada Allah memerlukan kesabaran, mujahadah jiwa dan memerangi kebatilan. Sebagai panduan, peringatan dan penunjuk jalan kupersembahkan beberapa faedah daripada pengamatan Imam Ibn Qayyim al-Jauzi.

 Kebijaksanaan 

“ Di manakah kamu sedangkan jalan ini terlalu jauh, Adam telah mengharungi pelbagai penat lelah, kerananya juga Nuh kepenatan, Ibrahim khalilullah dicampak ke dalam api, Ismail di tidurkan untuk disembelih, Yusuf dijual dengan harga murah dan merengkok di dalam penjara beberapa tahun, Zakaria dibelah kepalanya dengan gergaji, Yahya disembelih, Ayyub menghadapi penyakit yang memeritkan, Isa terpaksa berjalan bersama generasi yang ganas dan Muhammad s.a.w. mengharungi pelbagai bentuk penentangan…
….sedangkan kamu membuang masa dan bermain-main.

Itulah erti kehidupan, erti perhambaan dan erti tanggungjawab yang difahami oleh mereka yang menjadikan mereka sedemikian rupa.

 Tabir

“ Pada diri seorang hamba terdapat tabir yang menutupi dosanya, antaranya dan Allah dan dosanya dengan manusia. Sesiapa yang membuka tabir dosanya antaranya dan Allah. Allah akan membukakan tabir dosanya antaranya dan manusia”

Membuka tabir dosa antaranya dan Allah ialah melakukan dosa dengan melupai Allah, tidak merasai bersalah dan tidak takutkan azabnya. Apabila tabir dosanya dibuka antaranya dan manusia semua keburukannya akan terhebah.

 Persediaan

“ Setiap hamba mempunyai Pemilik yang akan ditemuinya dan rumah yang akan dihuninya. Maka hendaklah dia mencari keredaan Pemiliknya sebelum bertemu Tuhannya dan menghiasi rumahnya sebelum dia berpindah kepadanya,”

Tidak ada perhiasan yang paling indah daripada bertemu Allah dengan hati yang bersih dan sejahtera.

 Untung

Keuntungan yang besar di dunia ialah, kamu menyibukkan diri kamu setiap masa dengan perkara yang lebih utama dan lebih bermanfaat untuk kehidupan akhiratnya.

Tidak ada perkerjaan yang lebih sibuk daripada beramal dan berdakwah mengajak manusia kembali kepada Allah

 Bodoh

Berakalkah orang yang menjual syurga dan segala kenikmatannya hanya dengan kenikmatan syahwat yang hanya sedetik.

 Allah Digeruni Dihampiri

Makhluk ialah jika engkau takutkannya engkau akan melarikan diri daripadanya sedangkan Allah jika kamu takutkannya kamu akan bermesra dengannya dan menghampirkan diri kepadanya.

 Ilmu tanpa amal dicela

Jika ilmu itu bermanfaat tanpa beramal tidaklah akan Allah mencela padri-padri ahli kitab.

 Amal tanpa ikhlas binasa

Jika bermanfaat amal tanpa ikhlas tidaklah Allah akan mencela golongan munafik.

 Setiap orang ditentukan kesudahannya

Sesiapa yang Allah ciptakannya untuk menjadi ahli syurga akan sentiasalah pemberiannya dari perkara yang dibencinya. Sesiapa yang diciptakan Allah untuk menjadi ahli neraka sentiasalah pemberiannya melalui kenikmatan syahwat.

 Luka yang membunuh

Dosa adalah luka. Boleh jadi satu luka sudah cukup untuk membunuh.

 Harga syurga

Juallah diri kamu, pasarnya sudah ada dan harganya sudah ditetapkan.

 Fitrah

Bumi fitrah subur dan sentiasa menerima apa sahaja yang disemai. Jika kamu menanam benih iman dan takwa kamu akan mewarisi kemanisan selama-lamanya . Jika kamu menanam benih kejahilan dan nafsu buahnya sentiasa pahit.

 Nilai ilmu

Iblis gembira apabila Adam digugurkan dari dunia tetapi dia tidak tahu setiap penyelam yang jatuh kedalam air akan tetap akan dapat keluar daripadanya.

 Kelalaian

Tidak dapat dinafikan akan ada perasaan ingin tidur dan lupa tetapi tidurlah dengan nipis supaya kamu mendengar penjaga negeri menjerit: Subuh sudah hampir.

 Pendinding rezki

Dosa adalah pendinding pintu usaha. Seseorang hamba diharamkan rezki kerana dosa yang dilakukannya.

 Perhambaan sejati

Apabila Adam a.s. sejahtera perhambaannya, dosanya tidak membawanya ke neraka.

 Bahaya syirik

‘Wahai anak Adam jika kamu bertemu denganKu dengan dosa sebesar bumi tetapi kamu tidak menyekutui aku dengan sesuatu Aku akan menemuimu dengan sebesarnya juga keampunan.”

 Tersalah

Jika seorang hamba melakukan dosa bukan sengaja untuk mengingkari perintahNya, bukan kerana mencemarkan hukumNya akan diajarkan kepadanya cara untuk memohon keampunan.

 Ibadah yang ditunjukkan

Dosa yang dikeji lebih disukai-Nya daripada amal yang ditunjukkan.

 Awasilah panahan iblis

Membiarkan mata bebas menjadikan hati tertulis akan segala yang dilihat, sedangkan hati adalah ka’bah manakala Allah tidak suka ia dipenuhi oleh berhala.

 Kehidupan Roh

“ Wahai orang-orang yang beriman sahutlah seruan Allah dan al-Rasul apabila kedua-duanya menyeru kamu kepada perkara yang menghidupkan kamu…” al-Anfal, 24.

Seruan itu ialah : Jihad dan al-Quran

 Nilai diri

“..Jika kamu mengetahui nilai dirimu di sisi Allah, nescaya kamu tidak akan memalukan-Nya dengan dosa. Allah menghalau Iblis kerana enggan sujud kepada kamu ketika kamu berada di dalam sulbi Ayahmu..Alangkah hairannya… bagaimana boleh kamu berdamai dengannya dan meninggalkan Allah..”

– dipetik dari blog Renungan2u di dalam page al-fawaid –

9 thoughts on “Terang sinar mutiara hikmah..

  1. penerangan oleh empunya blog (Ustaz Annuar Salleh) mengenai Al-Fawaid..

    Al-Fawaid asalnya adalah judul buku karangan Imam Ibn Qayyim al-Jauzi maksudnya faedah-faedah, pengajaran atau kesimpulan. Semua kata-kata hikmah yang saya tulis diruangan ini adalah petikan daripada buku tersebut. Imam Ibn Qayyim simpulkan daripada pemerhatian beliau terhadap ayat-ayat al-Quran da hadis-hadis nabi.

    semoga sentiasa dirahmati dan diberkatiNya.. amin..

  2. Setiap orang ditentukan kesudahannya

    Sesiapa yang Allah ciptakannya untuk menjadi ahli syurga akan sentiasalah pemberiannya dari perkara yang dibencinya.

    maksudnya?

  3. tidak begitu ‘arif untuk menjelaskan.. tapi akan diajukan soalan kepada empunya blog (Ustaz Annuar Salleh)..

    sebelum tu.. sekadar perkongsian daripada ilmu yang cetek.. kalau tak silap.. akhi Dr. Zaki ada huraikan sedikit mengenai perkara ni tempoh hari semasa pengisian muqadimah fi zilalil Quran.. mengenai qada’ dan qadar.. ada takdir yang telah ditetapkan dan takdir yang bloh diubah.. bukanlah semuanya telah ditetapkan.. contohnya kita berdoa.. sebab Rasulullah begitu kuat berdoa dan bersungguh-sungguh tiap kali berdoa.. kalaulah segalanya telah ditetapkan.. pasti Rasulullah pun takkan berdoa sebegitu kuat dan bersungguh-sungguh.. ini bersesuaian dengan firman Allah..

    “… Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..”

    (Surah ar-Ra’d [13]:11)

    berkisar soal kesudahan.. Allah telah tetapkan siapa penghuni syurga dan siapa penghuni neraka.. cuma Rasulullah mengajar untuk kita tidak mempersoalkan ketentuan Allah.. Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksanana.. segalanya dalam pengetahuanNya.. tapi Rasulullah ajar kita fokus kepada usaha dan amalan.. kerana penghuni syurga pasti amalannya amalan penghuni syurga.. begitu juga penghuni neraka.. amalannya pastinya amalan penghuni neraka.. kita diberi dua jalan sama ada nak melakukan kebaikan atau keburukan.. seperti mana dalam firmanNya..

    “Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?”

    (Surah al-Balad [90]:10)

    wAllahu a’lam.. tunggu jawapan dari empunya blog (Ustaz Annuar Salleh) atau boleh tanyakan sekali lagi kepada akhi Dr. Zaki atau mana-mana sahabat yang ‘arif.. sekiranya ada sahabat yang mampu meringankan persoalan.. silakan.. kongsi pengetahuan.. moga bermanfaat..

    apa-apa pun.. di dalam internet ni.. ada banyak penjelasan mengenai qada’ dan qadar kalau dicari.. cuma untuk lebih memahami.. setelah dicari dan dibaca.. harapnya memperjelaskan kefahaman dengan guru atau murabbi.. agar tidak tersalah kefahaman.. kerana bab ini agak sukar untuk difahami secara terus.. ada yang telah murtad akibat salah faham bab qada’ dan qadar Allah..

    wAllahu a’lam.. kalau ada yang salah.. minta ditegur.. supaya tidak terus dalam kekeliruan.. dan tidak ada yang akan tersalah faham nanti.. apa-apa pun.. diharapkan semuanya dapat rujuk kepada yang lebih ‘arif seperti ustaz-ustaz atau murabbi masing-masing.. jazakumullahu khairan kathira..

    maaf.. tidak dapat menjawab secara tepat.. boleh tanya kepada yang lebih ‘arif..

    wassalamu’alaikum..

  4. ini adalah penjelasan empunya blog (Ustaz Annuar Salleh)..

    Ahli syurga akan sentiasa bersabar terhadap kehidupan di dunia ini yang penuh dengan ujian. Walaupun nafsunya tidak menggemari untuk melakukan ketaatan dan sukakan melakukan maksiat, mereka lebih rela untuk melawan hawa nafsunya lalu mereka berhak mendapat syurga Allah.

    Ahli neraka sememangnya hasil daripada kehidupan mereka yang hanya mengikut nafsu syahwat.

    moga dapat dikurangkan beban persoalan.. wAllahu a’lam..

  5. apabila ditanyakan soalan berikut kepada empunya blog (Ustaz Annuar Salleh)..

    bolehkah andai kata ustaz terangkan sedikit mengenai kata-kata “Sesiapa yang Allah ciptakannya untuk menjadi ahli syurga…” dan “Sesiapa yang diciptakan Allah untuk menjadi ahli neraka…” di dalam entri di atas..

    dan pernah terbaca.. ada seorang lelaki bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w setelah diberitahu kepada mereka mengenai ketetapan Allah.. kata lelaki itu ketika itu, “Lalu, untuk apakah kita beramal?”.. Rasulullah s.a.w. menjawab, “Bekerjalah, nescaya akan dimudahkan semuanya.”

    bolehkah kiranya ustaz menghuraikan sedikit mengenai ketetapan Allah siapa penghuni syurga dan siapa penghuni neraka.. dan pegangan apa yang harus kita pegang dan amalkan dalam soal ini..

    empunya blog (Ustaz Annuar Salleh) menjawab..

    Menjadi ahli syurga atau ahli neraka adalah urusan Allah yang Maha Adil. Ia adalah rahsia Allah yang tidak siapapun tahu melainkan mereka yang digembirakan oleh Allah sebagai ahli Syurga, hatta mereka yang terkorban dimedan jihad akan dibangkitkan dan dibalas berasaskan niat dan keikhlasannya.

    Hadis-hadis dan ayat al-Quran yang berkaitan perkara tersebut untuk mendidik kita supaya kita tidak bergantung harap kepada amalan kebajikan yang kita lakukan sebaliknya kita perlu memiliki sifat al-khauf ( takut dan bimbang akan azab Allah) dan dalam masa yang sama kita juga memiliki sifat al-raja’ (mengharapkan keampunan Allah). Inilah keikhlasan sebenar yang Allah inginkan daripada jiwa mukminin.

    Amal ibadah yang dilakukan sayugia mencapai tahap menyatakan syukur kepada Allah bukan kerana ia adalah satu kewajiban.

    Allah menyatakan bahawa Dia tidak akan mungkir janji.

    Allah berjanji bahawa sesiapa yang beramal soleh, berjihad dan beratubat akan diampunkan dosanya dan dikurniakan Rahmatnya.

    Kita pegang sahaja janji Allah ini dan beramal dengan perasaan takut dan mengharap nescaya Alah akan membuka laluan kita kearah mana niat tujuan kita. Jika kita beramal dengan niat mengharap keredaan Allah kita akan mendapat keredaan Allah. Jika kita beramal kerana dunia maka kita akan mendapat apa yang kita niatkan.

    Cuma para ulama yang memerhatikan ayat-ayat Allah memahami bahawa terdapat tanda-tanda zahir seseorang itu tergolong sebagai ahli syurga atau neraka berdasarkan amalan zahir dan kesudahan hayatnya. Sebab itu Imam Ibnu Qayyim memberi amaran kepada kita bahawa sekiranya seseorang itu amat suka menuruti hawa nafsu yang bercanggah dengan hukum Allah maka itu tandanya beliau melalui jalan ke neraka begitulah sebalikntya..

    wallahu a’lam.

    moga bermanfaat..

Tinggalkan komen